PAS Terengganu tolak pelawaan sertai PH

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menolak pelawaan DAP, PKR dan PAN bagi menyertai Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat menolak pelawaan terbuka Pakatan Harapan itu kerana beranggapan tiada keperluan berbuat demikian.

Malah, katanya PAS lebih relevan bertanding menentang Umno dan kerajaan BN di negeri ini berdasarkan beberapa faktor.

“Dalam konteks negeri Terengganu ini hanya PAS yang lebih relevan untuk bertanding melawan Umno dan BN di Terengganu berdasarkan beberapa faktor, antaranya jentera yang kukuh untuk melakukan gerak kerja ke arah kemenangan parti dan kelebihan itu tidak ada pada parti pembangkang lain.

“Sebelum ini, PKR umum tanding di 32 kerusi Dun (Terengganu). Bagi PAS, kita ada kekuatan sendiri berdasarkan rekod-rekod yang lalu.

“Kita akan menggerakkan persiapan untuk hadapi pilihan raya (PRU14) di 32 Dun dan lapan Parlimen,” tegasnya sebagai respons kepada pelawaan ketiga-tiga parti itu mengajak PAS menyertai PH di negeri ini bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka berkata, PAS mempunyai kekuatan jentera parti di Kelantan dan Kedah.

Justeru, katanya sebarang kerjasama berhubung pembahagian kerusi tidak timbul kerana PAS tidak terlibat dalam perjanjian bertulis dengan Pakatan Harapan di negeri ini.

Menurutnya, PAS kini perlu berhati-hati jika mahu mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti.

"PAS apabila berjanji kita setia. Di Sarawak, ia bermula dengan DAP yang ada 'kuasa autonomi' untuk singkir PAS Sarawak (dalam Pakatan Rakyat).

“Masa dalam Barisan Alternatif (BA), DAP keluar, kemudian masuk balik, kemudian keluar. Ini menunjukkan DAP bukanlah rakan setia.

"Mungkin dia (DAP) tengok isyarat daripada masyarakat Cina Sarawak yang tidak menyebelahi dia. Kalau sikap DAP berterusan, tidak mustahil mereka akan hilang kuasa di Pulau Pinang,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai kemungkinan tiga penjuru yang mahu dielakkan Pakatan Harapan sebagaimana berlaku pada PRN Sarawak yang hanya melemahkan kedudukan pembangkang, beliau seolah-olah tidak bimbang dengan perkara itu.

Kata beliau, pertandingan tiga penjuru boleh dielakkan sekiranya masing-masing menilai kekuatan parti sendiri.

Realitinya, ujar beliau DAP dan PAN tiada kekuatan dan tiada keperluan untuk bertanding di negeri ini.

“Bagi kita (PAS) Terengganu, sudah biasa berhadapan tiga penjuru khususnya penyertaan calon Bebas dan beberapa kawasan masih berpotensi dimenangi PAS walaupun tiga penjuru itu berlaku," katanya lagi.

Menurutnya, PKR, DAP dan PAN sepatutnya berbincang sesama sendiri jika benar-benar mahu menumbangkan Umno BN. - HARAKAHDAILY 13/5/2016

Share on Myspace