Tiada Adun PAS Kelantan lompat parti

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS menyifatkan dakwaan berterusan PAN kononnya 10 Adun PAS akan menyertai parti itu sebagai usaha memecah belah perpaduan kalangan wakil rakyat di Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata tohmahan itu mengaibkan adun tertentu kerana nama mereka sering disebut pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Ab Rahim Wan Abdullah.

"Kita tahu apa yang dilakukan itu semata-mata untuk memecah belahkan kekuatan PAS Kelantan. strategi tersebut dibuat dengan harapan kita sedia berunding dengan mereka bagi mendapat tempat pada pilihan raya umum akan datang.

" Saya tegaskan kita tidak akan sekali-kali berunding dengan parti yang khianat membawa lari kerusi PAS," katanya pada program taklimat khas di Putik malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyudin Hassan, pimpinan utama PAS negeri dan wakil-wakil rakyat.

Program itu bermula dengan solat Maghrib. Turut diadakan solat hajat. Pendokong PAS dari seluruh Kelantan memenuhi dewan Putik.

Sebelum ini acap kali PAN Kelantan mendakwa 10 Adun PAS akan menyertai parti itu selepas Adun salor Datuk Husam Musa dilucut keahlian PAS.

Di Dun Kelantan sekarang mempunyai wakil bebas dari Salor, manakala BN 12 dan PAS 31.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassurudin Daud pula berkata Adun yang dipilih arwah Tok Guru Nik Aziz pada Pilihan Raya Umum lepas adalah mereka yang istiqamah dalam perjuangan.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Hassan Mahmood menegaskan apa yang didakwa PAN tidak berlaku di Kelantan biar pun sudah acap kali diulang. – HARAKAHDAILY 14/5/2016

Share on Myspace