Pelihara jemaah daripada golongan gelojoh

IZWAN ABDUL HALIM | .

POKOK SENA: Cabaran PAS semasa menerajui Kerajaan Negeri Kedah dahulu adalah menghadapi golongan yang gelojoh, demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, golongan ini tiada ilmu mengenai pemerintahan lalu menyebabkan bakaran emosi dalaman di kalangan ahli PAS.

Jelasnya, mereka menimbulkan pelbagai persoalan, pertikaian, kritikan dan kecaman melebihi cubaan dan cabaran dihadapkan musuh politik PAS.

"Mereka masuk PAS tetapi tidak faham PAS. Masuk kerana marahkan Umno sahaja. Kita pun tidak mahu mereka jadi Umno dan jahat sampai mati.

"Tapi mereka masuk PAS tanpa kenal siapa, tak faham dan langgar habis semua. Bukan saya nak ungkit, tapi ini satu pengajaran, satu sejarah yang kena ambil ibrah untuk kita tempuh ke depan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam pidatonya pada ceramah sempena Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini hari ini.

Maklumnya, kebanyakan mereka itu adalah berlatar belakang ahli perniagaan yang mempunyai pemikiran dan kepentingan berbeza dari ahli PAS ditarbiyah.

Katanya, semasa menjadi kerajaan, cabaran dari luar hanya sekitar 20 peratus berbanding tekanan dalaman 80 peratus.

Menurut beliau yang juga mantan Setiausaha Politik Menteri Besar ketika zaman itu, Kerajaan Negeri Kedah mampu bertahan kerana diketuai Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Katanya, Ustaz Azizan digelar "Singa PAS" yang telah menyelamat dan mempertahankan kedudukan kerajaan menghadapi segala cabaran dihadapi.

Sehubungan itu gesanya, perlu ada persiapan dan kemahiran untuk menjadi kerajaan dan bukan bersikap pembangkang ketika menjadi kerajaan.

Beliau juga mahu para Pemuda PAS menguasai gagasan PAS iaitu 'Politik Matang dan Sejahtera' sebagai ilmu penting untuk menjadi kerajaan nanti.

Selain itu, Pemuda PAS juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran dengan belajar dari mereka yang lebih senior dan senior bersikap mengajar orang baharu.

Beliau turut menitipkan pesanan Almarhum Ustaz Azizan supaya memelihara PAS dari dicemari fikrah asing yang tidak diketahui datang puncanya dibawa oleh individu-individu tertentu. – HARAKAHDAILY 14/5/2016

Share on Myspace