PRK Sg Besar dan K Kangsar, PAS ubah tarikh muktamar

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pusat membuat sedikit perubahan tarikh Muktamar Tahunan Kali Ke-62 yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Kota Bharu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini berikutan penyertaan parti itu dalam Pilihan raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Menurutnya, majlis perasmian muktamar dan Ucapan Dasar Presiden bermula jam 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari pada 2 Jun.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, muktamar bermula jam 2.30 petang hingga 11.00 malam pada hari yang sama.

Katanya, muktamar disambung keesokan hari (Jumaat) bermula jam 8.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.

Beliau menambah, muktamar dewan-dewan berlangsung seperti asal bermula jam 9.00 hingga 11.00 malam pada 31 Mei diikuti 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada 1 Jun

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat diadakan di Dewan Sweet Beach Resort, Tok Bali, Pasir Putih, Dewan Pemuda PAS Malaysia di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu dan Dewan Muslimat PAS Malaysia di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, Kota Bharu.

Semalam, SPR mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun sementara penamaan calon 5 Jun.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong kerana kedua-dua penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lepas. - HARAKAHDAILY 14/5/2016

Share on Myspace