PRN Sarawak: Bagaimana PAS menang?

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Pilihan raya Negeri Sarawak ke11 telah pun berakhir dengan kemenangan besar dicapai oleh BN. PAS gagal memenangi sebarang kerusi yang juga bererti gagal melunaskan impian memenangi kerusi Dun sulung di negeri Sarawak.

Tetapi PAS sebagaimana biasanya akan segera menukar kekalahan itu kepada kemenangan. Begitulah caranya PAS memulihkan kekuatan dalaman ahlinya dengan cepat dan berkesan. Justeru anda akan melihat PAS seperti sedikit pun tidak terkesan dengan kekalahan yang menimpa sepanjang perjuangannya di dalam medan politik tanah air. Bahkan kekalahan bagaikan azimat yang menyemarakkan lagi semangat perjuangan mereka.

Saya akan tunjukkan bagaimana PAS menukarkan bicara kekalahan di PRN Sarawak itu dengan bicara kemenangan yang menggembirakan ahli dan penyokong PAS, lalu mereka sedikit pun tidak merasakan bahawa segala tenaga, masa dan wang harta yang dihabiskan sepanjang berkempen di sana sebagai sia-sia yang merugikan.

PAS memenangi apa yang tidak akan dimenangi oleh mana-mana parti pun yang bertanding dalam pilihan raya tersebut, iaitu memenangi politik dakwah dan tarbiyah.

Selepas 20 tahun PAS mengukuhkan kedudukannya di negeri Sarawak, PAS akhirnya berjaya meletakkan calon mereka di 11 kerusi Dun dengan kesemua mereka adalah daripada kalangan anak tempatan yang mempunyai latar belakang yang menarik dan hebat.

Selain bekas pegawai kanan kerajaan, profesional muda dan golongan ulama, PAS turut berjaya menampilkan calon wanita dan calon non muslim.

Ia satu proses peralihan yang besar dan berjaya. Dalam tempoh yang agak lama, kepimpinan PAS Sarawak dipegang oleh tenaga dan ahli PAS dari Semenanjung yang bertugas dan berhijrah ke sana. Ini kerana PAS pada masa itu masih kekurangan dan mencari-cari tenaga tempatan yang agak asing dengan politik PAS.

Justeru dalam PRN Sarawak baru-baru ini, selain kepimpinan PAS peringkat negeri Sarawak dan kawasan-kawasannya dipegang hampir sepenuhnya oleh anak Sarawak, begitu juga dengan jentera pilihan raya yang bertungkus lumus baru-baru ini. Jentera semenanjung datang hanya sebagai pasukan pembantu yang sememangnya memiliki pengalaman kerja-kerja pilihan raya yang lebih baik.

Kejayaan PAS mentarbiyah ahli-ahli PAS Sarawak dengan lebih ramai dan lebih berkualiti adalah petunjuk awal kekuatan PAS sebagai sebuah parti Islam. Tanpa tarbiyah ahli yang berjaya, PAS tidak akan berada di tempat mana ia berada hari ini di dalam politik Malaysia.

Hari pertama PAS ditubuhkan di Sarawak, ia mendapat tentangan banyak pihak. Begitulah ketika kali pertama PAS bertanding dalam PRN Sarawak 2001 dulu. Ia bukan sahaja ditentang dan diperlekehkan oleh musuh politik mereka samada di Sarawak atau Semenanjung, bahkan usaha PAS itu turut dipandang serong oleh rakan-rakan dakwah.

Alasan besar mereka ialah ia hanya akan memecahkan undi umat Islam yang merupakan minoriti di Sarawak. Ia seterusnya akan melemahkan kuasa politik umat Islam di sana. Maka serangan ke atas PAS adalah besar termasuk melabelkan PAS sebagai parti semenanjung yang menjadi pengacau di Sarawak. Sebagai makluman, Umno yang menjadi parti utama di dalam BN juga gagal menempatkan dirinya dalam politik Sarawak sehingga kini. PBB pula begitu gagah bertapak di Sarawak sebagai parti bumiputera yang diterajui umat Islam.

PRN Sarawak baru-baru ini menyerlahkan satu suasana yang menarik. Berdasarkan maklumat dan pengalaman rakan-rakan dan saya sendiri yang terlibat sebagai jentera kempen, PAS kini telah dikenali dengan baik oleh rakyat Sarawak. Hatta di kawasan pedalaman yang didiami oleh masyarakat Iban sekalipun, kehadiran PAS bukan lagi suatu yang asing buat mereka. Ia adalah pengalaman yang agak berlainan berbanding keterlibatan kami dalam pilihan raya dan aktiviti-aktiviti PAS sebelum ini.

Semasa saya berbual mesra dengan jentera BN, mereka sendiri sudah boleh menerima kehadiran PAS yang menjadi lawan politik mereka. Penampilan PAS yang matang dan mempromosikan kesejahteraan Islam dalam politik berjaya mengubah persepsi mereka terhadap PAS selama ini.

PAS kini adalah parti Islam anak Sarawak. Ia sudah boleh berkembang sendiri tanpa perlu menoleh kepada perkembangan PAS di Semenanjung lagi. Ia adalah sebuah parti Islam yang mengisi kekosongan yang tidak mampu diisi oleh PBB dan parti-parti lain. Suara politik Islam akan berkumandang di Sarawak sebagaimana ianya telah berkumandang di seluruh negara.

PAS membawa mesej politik Islam. Ia bukan hanya seperti badan-badan dakwah yang lain yang menyeru kepada pemelukan ugama Islam oleh masyarakat non muslim di Sarawak. Walaupun PAS menyokong dan turut mempunyai aktiviti yang sama, tetapi tugas lebih besar PAS ialah mempromosikan politik pemerintahan Islam yang lebih adil dan lebih sejahtera. Ia adalah untuk semua rakyat Sarawak.

Politik Islam mengajak kepada pentadbiran yang bersih dan bertanggung jawab. Ia menolak salah guna kuasa, rasuah, pembaziran dan pengabaian terhadap rakyat miskin. Ia menolak pengumpulan kekayaan oleh pemerintah dan golongan kaya yang berdampingan dengan pemerintah yang menyekat pengagihan wang rakyat dengan cara yang adil.

Sarawak mengalami defisit keadilan dan ketelusan yang teruk. Kekayaan negeri Sarawak dengan sumber hasil buminya yang bernilai adalah nyata. Tetapi malangnya, kemiskinan rakyatnya juga nyata. Sebabnya adalah lebih nyata iaitu kelemahan pemerintahannya yang korup.

Pentadbiran baru 'Team Adenan' menjanjikan penambahbaikan. Kerana itulah rakyat Sarawak memberi peluang san mandat yang lebih besar kepada beliau untuk mengotakan janji. Ia pastinya satu amanah yang mesti dipikul dan dilaksanakan.

PAS menyeru kepada nilai-nilai Islam yang murni. Pemerintah mestilah bertaqwa dan patuh kepada ajaran ugama. Hanya ugama yang boleh menyekat nafsu buas daripada bermaharaja lela membantai amanah rakyat.

Kerana itu, presiden PAS secara jelas menyokong dan memperkasakan hak ugama Islam untuk mentadbir negeri Sarawak. Sebarang usaha menukarkannya adalah satu kerugian yang mestilah dihindarkan. Walau bagaimanapun dalam politik demokrasi, rakyat Sarawak mestilah diberikan segala kebebasan untuk memilih siapa pemimpin yang mereka suka.

Walaupun PAS gagal memenangi sebarang kerusi kali ini, tetapi PAS berjaya menyampaikan mesejnya dengan berkesan bahawa Sarawak mestilah dipimpin oleh umat Islam. PBB mestilah membuktikan keupayaannya untuk memimpin dengan lebih baik agar ugama Islam tidak terconteng dengan kegagalan yang memalukan.

Justeru PAS hadir dan bertapak di Sarawak sebagai pembangkang yang mulia dan budiman. Cita-cita PAS untuk memenangi pilihan raya di Sarawak adalah benar, relevan dan begitu diperlukan demi kelangsungan Islam sebagai sumber dan tunggak kesejahteraan untuk negeri Sarawak yang tercinta. - HARAKAHDAILY 14/5/2016

Artikel di atas adalah untuk siri kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace