Hukuman rotan perlu kawalan dan peraturan jelas

NYZA AYOB | .

HUKUMAN rotan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan adalah wajar dan boleh dilaksanakan, tetapi perlu ada kawalan dan peraturan yang jelas. Tujuan rotan juga bukan untuk menyakiti dan memusuhi tetapi satu hukuman untuk menimbulkan keinsafan. Demikian antara pandangan yang diutarakan Ketua Eksekutif Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Mapken), Mohd Zai Mustafa berkaitan cadangan pelaksanaan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah pada 2017 oleh Kementerian Pendidikan. Ikuti pandangan lanjut beliau berkaitan isu ini dalam wawancaranya bersama Pemangku Penolong Pengarang Berita Harakah, NYZA AYOB pada 12 Mei lalu. Beliau juga merupakan Setiausaha Lajnah Pendidikan PAS Pusat.

HARAKAH: Timbalan Menteri Pendidikan mengumumkan pengetua atau guru akan diberi kuasa penuh untuk melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah pada 2017. Bagaimana pandangan Makpen mengenai perkara ini?

MOHD ZAI MUSTAFA: Sebenarnya apa yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan itu bukanlah perkara baharu kerana Ordinan Pelajaran 1957 serta Peraturan 6, Peraturan Peraturan (Disiplin) 1959, di bawah Peraturan 5 (1 ) ( b ) serta Panduan Tatacara Disiplin Sekolah untuk Guru Besar dan Guru 1988, telah membenarkan guru besar dan guru disiplin yang diberi kebenaran bertulis boleh menjalankan hukuman rotan kepada pelajar yang disahkan melakukan kesalahan.

Pekeliling merotan ini dikeluarkan pada tahun 1997 dan 2003, kuasa yang diberikan sangat terhad. Maka perlu beberapa pembaikan agar peraturan ini perlu diperkemaskan lagi.

Cadangan tersebut merupakan antara penambahbaikan peraturan disiplin pelajar yang bakal dilaksanakan bermula sesi persekolahan 2017. Apakah kaedah ini berupaya memperbaiki disiplin pelajar?

Pengumuman tersebut tidak menjelaskan secara terperinci pembaikan yang dikatakan telah dibuat. Difahamkan pihak sekolah, guru besar, guru disiplin dan guru-guru masih belum mendapat apa-apa pekeliling baharu berkaitan pengumuman yang telah dibuat.

Mereka masih lagi terikat dengan Pekeliling Merotan 1997 yang terhad. Saya rasa pengumuman tersebut hanya mengulangi perkara yang lama sahaja. - HARAKAHDAILY 14/5/2016

Wawancara penuh dalam akhbar HARAKAH BIL 2148 EDISI ISNIN di pasaran.

Share on Myspace