Permit penerbitan Suara Islam diluluskan

HARAKAHDAILY | .

PERMIT PENERBITAN SUARA ISLAM DILULUSKAN (15 MEI 1956)

PADA hari ini dalam tahun 1956, permit penerbitan lidah rasmi PAS, 'Suara Islam' telah diluluskan oleh Kerajaan Malaya untuk membolehkan PAS menyampaikan suara perjuangan Islam kepada rakyat.

Sebelum ini, pada 1953, PAS pernah menerbitkan majalah 'PAS' sebanyak dua keluaran bermula 31 Mei 1953, tetapi terhenti kerana krisis kepemimpinan pada akhir 1953. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, satu resolusi supaya PAS menerbitkan suara rasmi telah diluluskan.

Usul ini adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama pada 3 Januari 1953 yang mahukan PAS menerbitkan 'Suara PAS,' tetapi ekoran terhentinya penerbitan majalah PAS pada akhir 1953, mereka mahu Suara PAS diterbitkan semula.

PAS kemudiannya telah beberapa kali memohon permit penerbitan kepada kerajaan, sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13-14 Januari 1956 memutuskan nama lidah rasmi PAS ialah 'Suara Islam,' dan akan diterbitkan sebaik sahaja memperolehi permit dari kerajaan.

Setelah permohonan PAS diluluskan oleh Kerajaan Malaya pada 15 Mei 1956, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 30 Jun 1956 telah melantik Mohd Asri Haji Muda sebagai Pengurus merangkap Ketua Pengarang Suara Islam dengan pengawasan Jawatankuasa Penerangan PAS. Turut dilantik ialah Ustaz Amaluddin Darus sebagai Penolong Pengarang, sebelum Jemaah Pentadbir Suara Islam iaitu Ustaz Ishak Lotfi Omar (Bendahari), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim, Mohd Daud Salleh dan Haji Mohd Nor Yusof (Anggota).

Untuk menerbitkan Suara Islam, Jemaah Pentadbir bukan sahaja menghadapi masalah kewangan yang bergantung kepada sumbangan ahli-ahli PAS, tetapi mereka juga menghadapi masalah percetakan kerana semua syarikat pencetak tidak sanggup mencetaknya. Akhirnya, PAS terpaksa mengadakan percetakannya sendiri.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima, telah diputuskan supaya PAS mendirikan percetakannya sendiri dengan sumbangan wajib setiap ahli PAS. Atas usaha bersungguh-sungguh dan pengalaman dalam dunia penerbitan yang dimiliki oleh Jemaah Pentadbir, akhirnya Suara Islam berjaya diterbitkan pada akhir 1956.

Edisi pertama Suara Islam diterbitkan pada 17 Disember 1956 dengan menyiarkan ucapan Prof Zulkifli Mohamed yang menggariskan dasar-dasar perjuangan PAS.

Edisi keduanya diterbitkan pada 15 Januari 1957, manakala edisi ketiga yang diterbitkan pada 15 Februari 1957 telah membuat liputan terhadap Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956, iaitu yang terakhir bagi Dr Haji Abbas Alias sebagai Yang Dipertua Agung PAS di mana Ucapan Dasar PAS 1956 itu disiarkan sepenuhnya. Akhbar bersaiz majalah telah diterbitkan sehingga 1962.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
15 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 15/5/2016

Share on Myspace