Baitul Maqdis: Alunan ombak perjuangan tidak putus

HARAKAHDAILY | .

UCAPAN PERASMIAN OLEH DATUK SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG PADA PROGRAM KAYUHAN JIHAD SELAMATKAN AL-QUDS

Kita mengambil peluang daripada kelaziman umat Islam seluruh dunia yang menyambut Isra’ Mikraj dengan mengadakan program bagi mengingatkan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia umumnya yang cintakan kedamaian dan keadilan supaya mengingati isu Palestin dan Baitul Maqdis yang merupakan peristiwa yang mencacatkan sejarah Nabi-nabi dan umat sedunia.

Pada masa yang sama, barangkali kita lupa bahawa kita juga perlu mengingati Peristiwa 100 Tahun Penjajian Sykes-Picot, perjanjian di antara kuasa-kuasa besar dunia di ambang Perang Dunia Pertama iaitu Perancis dan Rusia yang berjanji untuk memecahkan dan membahagikan negara Asia Barat sekiranya dapat ditumbangkan Kerajaan Uthmaniyyah dan juga melaksanakan polisi yang sama di Asia Tenggara dengan memecahkan negeri-negeri yang dianggap lemah di antara penjajah British, Belanda, Sepanyol dan Perancis.

Peristiwa yang berlaku ini untuk mengingatkan kita bahawa isu Baitul Maqdis yang merupakan tempat Isra’ dan Mikraj adalah isu utama umat Islam dan masalah dunia yang dicetuskan oleh Zionis dan Freemason yang mempunyai perancangan pelampau Yahudi yang fanatik terhadap kaum dan agama dengan menganggap manusia selain mereka adalah binatang dan mereka juga telah mencipta ideologi yang meruntuhkan tamadun manusia di seluruh dunia.

Barangkali dunia turut melupai peranan Zionis yang telah berjaya menubuhkan negara haram Israel pada tahun 1948 dan merampas Baitul Maqdis pada tahun 1967 yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan tempat Isra’ dan Mikraj yang menghubungkan Nabi-nabi dan Rasul-rasul.

Kita mengadakan program ini untuk mengingatkan umat Islam atas kelekaan dan kelalaian mereka pada hari ini sama ada disedari atau tidak disedari yang telah memasuki dalam perangkap dan strategi Zionis yang bukan sahaja telah berjaya memecahbelahkan neegeri-negeri umat Islam dengan melakukan beberapa siri kekacauan, pada masa yang sama telah berjaya melekakan umat Islam dengan Perjanjian Oslo 1993, Perjanjian Camp David 1978 dan 2000, Perjanjian Madrid 1999 dan seterusnya mengheret negara Islam, khususnya negara Arab supaya melakukan hubungan diplomatik dengan Israel dan secara langsung mengiktiraf negara haram Israel dan membiarkan Baitul Maqdis menjadi mangsa tawanan.

Alhamdulillah, Malaysia negeri yang kecil sejak awal tidak mengizinkan dan mengiktiraf negara haram Israel. Secara khususnya umat Islam telah berjaya memberi tekanan politik kepada kerajaan dan rakyat supaya tidak mengiktiraf negara haram Israel. Malangnya, negeri besar dan kaya hanyut dengan penipuan Zionis dengan melaksanakan polisi ke arah mengiktiraf negara haram tersebut.

Hari ini kita menarik pemuda-pemuda secara khusus dan semua pihak umumnya di dalam aktiviti sukan sebagai satu kempen kesedaran kepada isu Baitul Maqdis dan Palestin dengan tujuan untuk mengembalikan semula ke dalam ingatan umat Islam.

Bukan sahaja perlu memberi sokongan, bahkan memberi tanggungjawab berjuang untuk membebaskan Baitul Maqdis. Bukan sahaja menjadi cita-cita, bahkan menjadi satu kenyataan satu hari nanti kita dapat membebaskan Baitul Maqdis supaya Zionis menyedari perjuangan Palestin dan Baitul Maqdis tidak hanya intifadah yang berlaku di Palestin sahaja dan mereka tahu bahawa kepalanya di Baitul Maqdis dan ekornya di Malaysia yang menjadi alunan ombak perjuangan yang tidak putus.  

Ditulis oleh:
Abdul Malik Ab Razak
Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak
15 Mei 2016, Taman Mutiara Gombak - HARAKAHDAILY 15/5/2016

Share on Myspace