Para guru yang dihormati, semoga keluhanmu didengari

HARAKAHDAILY | .

16 Mei ialah hari yang cukup bermakna selain Hari Ibu dan Hari Bapa yang diraikan serata dunia. 16 Mei merupakan Hari Guru, hari untuk memperingati mereka yang mengajar kita bagai ibu bapa kita walaupun mereka tiada pertalian darah dengan kita.

Dalam pepatah Cina, saya difahamkan ada sepatah yang berbunyi: “Sehari berguru, ayah seumur hidup”. Ia bermaksud kedudukan guru amat dimuliakan sehingga diangkat setaraf kedudukan ibu dan bapa seumur hidup. Menghormati guru sepanjang zaman sebagaimana panggilan guru tidak pernah padam. Tiada istilah bekas atau mantan bagi guru. Itulah gambaran penghormatan bagi kerjaya guru.

Sempena hari yang mulia ini, PAS merakamkan ucapan Selamat Hari Guru.

Perguruan ialah satu kerjaya yang sangat dihormati dan diminati. Suatu masa bidang perguruan menjadi pilihan kerana corak pekerjaannya yang lebih kepada usaha mendidik.  Lantaran itu kita lihat bidang perguruan merupakan bidang yang diminati walaupun tiada kemudahan pejabat sebagaimana pensyarah atau pegawai tadbir yang punyai kelulusan yang sama bahkan gred gaji yang sama.

Ada sebahagian bilik guru hanya mempunyai kipas siling yang berpusing ala kadar kerana tidak pernah berganti. Pelbagai kemudahan dan keselesaan tidak dinikmati sebagaimana kerjaya lain.

Mutakhir ini, kerjaya sebagai guru menjadi semakin mencabar. Selain mendidik anak-anak kita, mereka dibebankan dengan pelbagai tugasan luar yang lebih banyak berbanding tugasan asas. Pelbagai borang yang terpaksa diisi dan pelbagai e-dokumen yang muncul.

Pertambahan beban tugas menyebabkan guru hari ini mengalami stres dan tekanan apabila berhadapan dengan kerenah pelajar yang semakin nakal dan liar sejajar dengan perkembangan media sosial.

Hari ini, ibubapa yang pantang silap akan terus mengadu tulis di dalam media sosial, bahkan ada yang terus membuat laporan polis.

Suasana kerja begini tentu tidak akan menyeronokkan bagi guru.

Sejajar dengan itu, pihak Kementerian Pelajaran perlu melaksanakan perancangan awal bagi menempatkan  pembantu guru bagi menyelesaikan tugasan kepejabatan. Ini bagi membolehkan guru memberi fokus kepada pengajaran dan pembelajaran yang menjadi tugas asasi mereka.

Kerajaan perlu memberi perhatian kepada peningkatan beban kerja di luar bidang yang dihadapi oleh para guru. Dasar pendidikan mesti dilaksanakan sebagaimana rangka besar pelan pendidikan negara.

Dasar pendidikan bukan eksperimen. Ia juga bukan tempat menteri mencuba idea untuk melonjakkan namanya. Dasar pendidikan tidak wajar ditukar setiap kali bertukar menteri. Pelajar tidak seharusnya dijadikan 'tikus makmal' untuk dicuba sesuatu dasar baru, yang hanya menambahkan bebanan guru dan merosakkan masa depan pelajar.

Sempena Hari Guru ini, jangan hanya didendangkan penghormatan kepada guru, tetapi lihatlah dan jagalah kebajikan para guru.

Selamat Hari Guru. Wahai para guru yang dihormati, semoga keluhan anda didengari. Jangan lupa ada kuasa di tangan anda.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
9 Syaaban 1437 / 16 September 2016 - HARAKAHDAILY 16/5/2016

Share on Myspace