Hafiz berpeluang sanad al-Quran Imam Makkah

RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Buat julung kalinya lima hafiz dan hafizah dari Kelantan akan dipilih untuk mendapat sanad bacaan Al-Quran daripada imam Masjidilharam Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais.

Program itu merupakan salah satu acara di Madinah Ramadan, sempena Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata seramai lima hafiz dan hafizah akan dipilih menyertai program itu.

“Kita akan pilih daripada mengadakan temuduga. Program ini khusus kepada mereka yang menghafal Al-Quran,” katanya di sini.

Menurutnya juga program Ijazah Sanad Al-Quran Masjidilharam di Madinah akan dibuat melalui Skype dengan imam Masjdilharam di Makkah.

“Sepatutnya anak murid perlu pergi ke Makkah untuk mendapat sanad tetapi kita telah diberi kebenaran untuk membaca Al-Quran melalui Skype,” katanya.

Menurutnya juga lima orang yang terpilih itu dijangka pergi ke Masjidilharam pada Disember hadapan untuk menerima sanad masing-masing. - HARAKAHDAILY 17/5/2015

Share on Myspace