Dipecat parti pun terikat baiah, sumpah

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bukan sekadar melompat parti, sebaliknya seseorang wakil rakyat juga perlu meletak jawatan apabila dipecat keahlian seperti diikrar dalam baiah.

Ia terkandung dalam baiah dan sumpah antara lain menyebut, “bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi watallahi untuk meletak jawatan dari menjadi Adun/anggota parlimen apabila saya keluar atau dipecat dari parti”.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan berdasar baiah yang ditandatangani wakil rakyat mereka perlu meletak jawatan selepas menyertai parti lain.

“Mana-mana ahli PAS yang memenangi kerusi Dun dan Dewan Rakyat atas tiket PAS tetapi menyertai parti lain, mereka perlu meletakkan jawatan berdasar baiah yang ditandatangani,” katanya.

Baiah dan sumpah dilaksanakan PAS Kelantan bagi membendung gejala melompat parti.

Baiah dan sumpah setiap calon PAS dilakukan di hadapan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Kerajaan PAS Kelantan terselamat pada 2004 biarpun menang dengan majoriti dua kerusi. Usaha memancing Adun PAS begitu berleluasa ketika itu.

Mengulas isu tersebut Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata orang ramai sebelum ini hanya difahamkan wakil rakyat yang melompat parti sahaja yang terikat dengan baiah.

“Sedangkan ia juga mengikat wakil rakyat yang keluar atau dipecat daripada parti. Sumpah yang dibuat mereka turut disertakan dengan tandatangan di hadapan Tok Guru.

“Bukan sahaja menyertai lain, sebaliknya wakil rakyat yang dipecat keahlian parti juga perlu meletak jawatan sebagai YB,” katanya di sini.

Baru-baru ini Adun Salor Datuk Husam Musa dipecat keahlian PAS selepas berterusan mengkritik secara terbuka Presiden PAS dan kerajaan negeri tanpa melalui saluran sepatutnya.

Tahun lepas, Anggota Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan Anggota Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar yang menyertai parti lain juga terikat dengan baiah dan sumpah. - HARAKAHDAILY 18/5/2016

Share on Myspace