El Nino semakin berakhir di Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Orang ramai di sini menarik nafas lega selepas kemarau panjang ekoran El Nino semakin berakhir berikutan hujan mencurah-curah sejak malam semalam.

Malah malam tadi petir berlaku kira-kira jam 12.30 pagi berdentum-dentum sehingga hampir setengah jam selepas hujan agak lebat.

Hujan turun dua malam berturut-turut biar pun tidak lama. Sejak lebih dua bulan Kota Bharu dan sebahagian besar Kelantan panas dan kering.

Suhu dicatatkan di Kota Bharu ada ketikanya 35°C , malah di Kuala Krai sehingga 38°C.

El Nino juga menyebabkan rumput menjadi kering dan layu. Malah penduduk yang menggunakan telaga juga berdepan dengan masalah kekurangan sumber air.

Ekoran itu pada 22 April lepas kerajaan negeri menganjurkan program munajat perdana dan solat sunat Istisqa di Padang Hoki dekat sini bermula jam 4 pagi.

Sunat Istisqa juga diadakan di seluruh Kelantan termasuk dianjur sekolah, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan dan Pusat Khidmat Dun.

Beberapa hari selepas solat Istisqa di Kota Bharu hujan lebat tiga malam berturut-turut turun di Gua Musang sehingga menyebabkan Sungai Kelantan menjadi keruh.

Berdasar laman accuweather.com cuaca di Kelantan hari ini mendung, manakala esok dan lusa dijangka berlaku ribut petir.

Seorang kakitangan kerajaan berkata, fenomena El Nino yang melanda Kelantan kini semakin berakhir selepas hujan lebat mencurah-curah hampir setengah jam tengah hari tadi. - HARAKAHDAILY 18/5/2016

Share on Myspace