Sejarah: PAS Sabah ditubuhkan semula

HARAKAHDAILY | .

PADA hari ini dalam tahun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa telah merasmikan penubuhan semula PAS Sabah, setelah Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS Sabah) yang ditubuhkan pada Ogos 1963 lumpuh kerana pelbagai faktor ketika itu.

Penubuhan semula PAS di Sabah ini telah membolehkan PAS mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur di bawah pimpinan Haji Hamzah Abdullah selaku Pesuruhjaya PAS Sabah yang dilantik mulai 14 Jun 1986.

Penubuhan semula PAS di Sabah ini adalah bertolak dari isu Kristianisasi yang berkembang di Negeri Bawah Bayu ini setelah parti Berjaya tewas kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah 1985.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 28 April 1985 telah memberikan perhatian kepada kedudukan tokoh Kristian, Joseph Pairin Kitingan yang dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah yang baru.

Ekoran dari itu, pada 25 Mei 1985, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS dikembangkan semula di Sabah bagi menangani masalah Kristianisasi.

Sejak PAS Sabah ditubuhkan pada Ogos 1963, PAS Sabah telah menjadi badan gabungan PAS, tetapi kerana isu konfrantasi Indonesia dan tuntutan Macapagal, PAS agak sukar bergerak kerana PAS sendiri mempunyai pendirian menentang penubuhan Malaysia.

Pada 16 Ogos 1969, Ketua Menteri, Tun Datu Mustapha Harun telah menubuhkan USIA yang memainkan peranan dakwah di Sabah yang sekali gus melemahkan pergerakan PAS.

Penglibatan PAS dalam Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1973 yang turut disertai oleh Perikatan Sabah kemudiannya melenyapkan PAS di Sabah.

Faktor Kristianisasi yang tercetus melalui kemenangan PBS pada 1985 telah menyebabkan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 13 April 1986 telah menghantar peninjau dan merundingkan penubuhan PAS di Sabah dengan segera.

Setelah berjaya mengadakan penaja untuk menubuhkan PAS di Sabah, pada 19 Mei 1986, PAS Sabah berjaya dilancarkan secara rasmi oleh Pak Yusof Rawa.

Pembentukan Badan Perhubungan PAS Sabah hanya dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Jun 1986 dengan mengesahkan perlantikan yang dibuat dalam perjumpaan ahli-ahli PAS Sabah pada 19 Mei 1986 ini.

Pada peringkat awal, perkembangan PAS di Sabah lebih tertumpu kepada beberapa kawasan utama seperti Tawau, Sandakan, Kudat dan Gaya, serta banyak digerakkan oleh ahli-ahli PAS dari Semenanjung yang bekerja di Sabah.

Selepas 1998, PAS mulai berkembang di tempat-tempat lain di bawah pimpinan beberapa Pesuruhjaya PAS seperti Haji Hamzah Abdullah (1986-1989), Haji Mohamad Abdullah (1989-2001 dan 2004-2011), Dr Datu Bandira Datu Alang (2001-2004) dan Haji Aminuddin Aling sejak 2011.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
19 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 19/5/2016

Share on Myspace