Walau kalah PRN, PAS teruskan bantu ibu tunggal

JOFRI JARAIEE | .

MIRI: Masalah penduduk yang tinggal di lereng bukit yang kurang diberi perhatian oleh pihak kerajaan perlu ditangani segera. Ramai antara mereka sudah berpuluh tahun tinggal disitu tetapi ada yang masih belum diberi hak milik tanah oleh pihak pemerintah dan mereka sukar untuk mendapatkan bantuan untuk membina rumah yang lebih selesa dan selamat untuk tempat tinggal.
 
Sebuah rumah usang yang terletak di pinggir lereng bukit memerlukan bantuan pihak kerajaan tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan sehingga berita ini sampai ke pengetahuan PAS Miri.
 
Puan Rosia Usop seorang ibu tunggal tinggal bersama dengan dua orang anak lelakinya Azman dan Ariz. Ayah mereka sudah lama meninggal dunia lebih kurang lima tahun yang lalu. Mereka sudah tinggal dirumah peninggalan arwah ayah mereka lebih dari 15 tahun. Mereka pernah memohon bantuan dari badan kebajikan untuk membina rumah baru tetapi tiada sebarang tindakan diambil memandangkan mereka hanya menumpang di tanah peninggalan arwah datuk mereka.
 
Keadaan rumah mereka sebelum ini amat teruk iaitu lantai rumah sudah reput, atap bocor dan beranda di luar rumah pun hampir reput.  Pernah suatu ketika mereka terjatuh dari tangga akibat tangga licin.
 
Mereka mengadu masalah ini kepada pihak PAS kerana harapan mereka untuk mendapatkan bantuan dari pihak kerajaan terlalu sukar dan penuh dengan birokrasi. Mereka masih memerlukan bantuan untuk membina sebuah rumah baru yang selesa dan selamat untuk tempat tinggal.
 
PAS Miri dengan insiatif bersama NGO Khidmat Malaysia telah menyumbang sedikit bantuan membaiki lantai, atap yang bocor serta membuat tangga beranda baru untuk rumah beliau.
 
Walaupun PAS gagal memenangi sebarang kerusi DUN semasa pilihan raya yang lalu ini bukan bermakna PAS berhenti memberi bantuan khidmat masyarakat kepada mereka yang memerlukan. Dengan sumbangan yang tidak seberapa ini, PAS tetap memberi bantuan semaksima mungkin kepada mereka yang memerlukan bantuan. PAS akan sentiasa turun padang bersama dengan masyarakat setempat demi untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan bantuan kebajikan.
 
PAS mengesa kepada pihak kerajaan dan wakil rakyat yang sudah terpilih rajin-rajinlah turun padang dan berjumpa dengan rakyat seperti mana mereka sibuk masa berkempen bertemu rakyat semasa pilihan raya tempoh hari.

Mereka ada peruntukan dan elaun sebagai wakil rakyat maka sewajarnya mereka datang membantu rakyat yang memerlukan khidmat mereka sebagai wakil rakyat. Janji mereka semasa kempen seharusnya ditepati dan jangan setelah dipilih adalah sukar untuk dilihat selepas memenangi pilihan raya.
 
Kita juga mengesa pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan boleh membantu keluarga Puan Rosia membina semula rumah mereka agar mereka dapat hidup aman dan selesa kerana rumah mereka sekarang perlu dibina semula di tempat yang lebih selamat.
 
Seharusnya pihak kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat dapat melaksanakan tugas dengan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini amat dihargai. – HARAKAHDAILY 19/5/2016

Share on Myspace