PRK: Pemuda PAS Sg Besar sahut kesungguhan Presiden

MOHD RAZALI SAARI | .

Pemuda PAS Sungai Besar menyahut kesungguhan Tuan Guru Presiden PAS bagi memastikan PAS terus merempuh cabaran PRK P.093 Sungai Besar dengan kibaran gagah sebuah perjuangan Islam di medan demokrasi.

PRK P.093 Sungai Besar adalah medan terbaik untuk melihatkan kesungguhan PAS membawa aspirasi perjuangan Islam tanpa kongkongan dan belenggu-belenggu yang cuba menghalang. Apatah lagi kerusi Parlimen Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS bertanding tanpa mengira kalah dan menang.

Jika menang dikira ukuran, PRN Sarawak yang lepas membuktikan kesungguhan PAS menggunakan ruang demokrasi yang ada bagi mengembangkan dakwah siasah dan politik PAS untuk memartabatkan Islam dalam arus perdana tanpa mengira natijah akhir, menang atau kalah.

Perjuangan pasti diuji, seperti kisah ujian tentera Thalut melawan Jalut yang digambarkan Allah dalam surah Al Baqarah.

(فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ ۚ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ ۚ فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ ۚ قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُمْ مُلَاقُو اللَّهِ كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ)

[Surah Al-Baqarah: 249]
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".

Tentera Thalut diuji dengan nikmat air sungai yang dihalang minum lebih daripada sepatutnya. Maka Allah menunjukkan bagaimana logik nafsu akhirnya menyebabkan gugur dari perjuangan. Malah, Kuasa Allah akan tetap memenangkan pasukannya walaupun dalam keadaan sedikit dan nampak lemah

Sejarah ini berulang kembali dalam Islam, dilihatkan Allah dalam perang Badar, Ahzab, kemenangan Tentera Saifuddin Qutuz Di Ayn Jalut dan juga kemenangan besar Sunan Fatahillah menghalau Portugis di Sunda Kelapa 1527 sehingga dinamakan kemenangan sebagai Fathan Mubiina (Kemenangan Yang Nyata) JAYAKERTA. Menjadi tanda nama kota negara Indonesia hari ini sebagai Jakarta.

Maka dengan semangat ini jua, Pemuda PAS Sungai Besar amat yakin akan ketegasan Presiden PAS supaya kami meneruskan kibaran bendera PAS di Sungai Besar. Apatah lagi, semangat taujihat yang diberikan oleh Tuan Guru Presiden semasa lawatan baru-baru ini turut membakar jiwa-jiwa kami untuk terus menjadi pembantu agama Allah ini.

Insya Allah, dengan jiwa dan raga kami yang masih muda ini. Kami tawarkan dan serahkan untuk membantu PAS membuat kejutan di PRK P.093 ini. - HARAKAHDAILY 19/3/2016

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sungai Besar.

Share on Myspace