Kerajaan Umno digesa bantu pengusaha madu kelulut

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pengusaha industri madu kelulut perlu diberi bantuan kewangan daripada kerajaan bagi melakukan inovasi untuk menghasilkan koloni kelulut tanpa menebang pokok, demikian menurut  Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Di dalam soalan tambahanya di Dewan Rakyat hari ini, Nik Abduh berkata, kebanyakan pengusaha madu kelulut bergantung kepada pokok bagi menghasilkan koloni kelulut.

"Pengusaha perlu tebang pokok menyebabkan beribu-ribu pokok ditebang di kampung, sementara ada penagih dadah tebang pokok sesuka hati dan menjual kepada pengusaha.

"Ia secara tidak langsung akan mengganggu ekosistem dan merosakkan kerana kelulut menjadi ejen pendebungaan," katanya.

Keadaan ini, katanya akan menyebabkan industri yang sudah mendapat tempat di negara seolah-olah tidak mesra alam dan akhirnya gagal menembusi pasaran antarabangsa kerana piawaian yang agak ketat.

Akhirnya, jelas beliau harga madu kelulut akan jatuh dan tidak mungkin lagi dapat dijual dengan RM200 sekilogram.

"Di Kelantan kalau hendak buat sarang dengan mengalihkan 'permaisuri' ke sarang memerlukan kewangan yang besar dan pengusaha tidak mendapat bantuan," katanya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengakui bahawa pengusaha madu kelulut tidak perlu lagi menebang pokok bagi mengalihkan 'permaisuri' kerana adanya teknologi yang ada pada hari ini.

"Kita alihkan 'permaisuri' dan akan mewujudkan koloni yang sama dengan membuat kotak-kotak koloni baru. Ada yang perlu kajian dan pendidikan yang baru untuk menggalakan industri ini," jawab beliau.

Di dalam soalan asal, Nik Abduh meminta menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan berkenaan industri madu kelulut di negara ini dan langkah-langkah yang dilaksanakan atau bantuan-bantuan yang diberikan bagi mengembangkan lagi industri ini. – HARAKAHDAILY 19/5/2016

Share on Myspace