Kelantan bantu kempen PRK di Dun Manong

HARAKAHDAILY | .

KOTA BHARU: Jentera pilihan raya PAS Kelantan akan berkampung di Dun Manong, Kuala Kangsar dalam misi menafikan penguasaan Umno dan Barisan Nasional di kawasan parlimen terbabit.

Jentera Pilihan Raya PAS Negeri (JPN) berada di kawasan berkenaan sejak semalam bagi merintis kerja-kerja awal sebelum mulai berkampung Sabtu ini.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata Kelantan ditugas bagi membantu kempen di Dun Manong yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum lepas.

Katanya, di Dun terbabit jentera dari Kelantan ditetapkan bertugas di tujuh peti undi (UPU) iaitu UPU Kampung Jeliar, Manong, Ulu Kenas, Lepuk, Bendang Panjang, Hulu Pior dan Jalan Baharu.

“Petugas dari Pulau Pinang dan Sarawak juga akan bersama kita di UPU terbabit. Dan di setiap UPU akan dibantu dua kawasan dari Kelantan sehingga hari mengundi,” katanya di sini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) itu diadakan berikutan anggota parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan anggota parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad terbabit dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lalu.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon 5 Jun. - HARAKAHDAILY 19/5/2016

Share on Myspace