Warga Sabak Bernam gembira Bas Smart Selangor

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penantian masyarakat Sabak Bernam yang menginginkan perkhidmatan pengangkutan awam percuma berakhir dengan pelancaran Bas Smart Selangor, di daerah itu, semalam.

Pesara, Mohd Shahrir Ismail, 57, berkata beliau tidak menyangka dapat merasai inisiatif disediakan kerajaan negeri itu di kawasan luar bandar.

“Ingatkan tiada siapa peduli kami di luar bandar ini kerana biasanya pembangunan tertumpu di bandar.

“Ternyata keadaan itu berbeza di Selangor. Terima kasih kerajaan yang peduli rakyat,” katanya dipetik Selangor Kini.

Lebih 40 tahun bergelar anak jati Sungai Besar, N Ananthan, 67, berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan percuma itu.

“Memang puas hati dengan keadaan bas yang serba baru, selesa dan mesra OKU serta warga emas.

“Diharap promosi diperhebat supaya warga Sabak Bernam tahu adanya bas percuma,” kata bapa kepada enam anak itu.

Sementara itu, guru prasekolah, Hasnah Johari, 52, pula menyifatkan kehadiran Bas Smart Selangor tepat pada masanya.

“Dengan ini, rakyat terutama mereka berpendapatan rendah beroleh manfaat seterusnya dapat berjimat. Mereka dapat menjimatkan kos untuk ke sekolah, tempat kerja dan lokasi lain,” katanya.

Share on Myspace