PRK Kuala Kangsar, Sg Besar: Masa sudah singkat

HARAKAHDAILY | .

Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan pada 18 Jun 2016 dan penamaan calon pada 5 Jun 2016.

Ini bermakna hanya tinggal kurang sebulan untuk usaha memenangi hati pengundi di kawasan tersebut sempena bulan Ramadan yang penuh dengan pelbagai program asas dan suasana ibadah.

Sehubungan itu, dan bertepatan dengan jiwa Ramadan yang bakal menjelang, PAS hanya akan memberi fokus kepada persiapan jentera pilihan raya dan penyusunan semua gerak kerja pilihan raya bagi memenangi kedua-dua PRK ini.

PAS telahpun membentuk Jawatankuasa Induk dan Operasi PRK ini.

Sasaran PAS ialah BN, matlamatnya ialah menumbangkan BN bagi menghantar mesej bagi pihak rakyat bahawa BN yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah ditolak rakyat.

Tidak timbul untuk undur ke belakang daripada matlamat ini.

PAS menggesa blok pembangkang bersatu dalam menyokong calon PAS bagi menghantar isyarat yang jelas kepada Umno BN khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa blok pembangkang sedia melupakan perbezaan parti politik demi masa depan rakyat dan negara.

Jika tidak, terpaksalah blok pembangkang bersedia melihat yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang manakala PM Najib terus tersenyum riang.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
12 Syaaban 1437 / 19 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 19/5/2016

Share on Myspace