PRK: 6 calon diserah Majlis Syura Ulamak

SALMAH MAT HUSAIN | .

TANAH MERAH: PAS menyenarai pendek enam nama calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Sungai Besar dan di Kuala Kangsar.

Naib Presiden Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, keenam-enam calon tersebut di mana tiga setiap parlimen telah diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak.

Katanya, selepas itu nama tersebut akan diserah kepada Jawatankuasa PAS Pusat yang dijangka bermesyuarat Ahad ini.

“Setakat ini sudah ada tiga nama untuk Kuala Kangsar dan tiga nama untuk Sungai Besar. Latar belakang calonnya orang tempatan.

“Usia mereka antara 40-an hingga 50-an yakni masih muda,” katanya

selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa kali ke-45 Peringkat Negeri di Maahad Tahfiz Sains di sini semalam.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Zahari Ibrahim.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad akibat nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK kedua-dua tempat diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon 5 Jun.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan juga turut meminta parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kedua-dua PRK itu. – HARAKAHDAILY 20/5/2016

Share on Myspace