Suara TG Abdul Hadi suara akar umbi

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

Kenyataan PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi merupakan perkara yang sangat dinanti-nantikan oleh akar umbi PAS di sana. Ia disambut penuh syukur dan gembira. Memang inilah yang dicita-citakan seluruh jentera PAS sekian lama. Di mana sahaja PAS memiliki kekuatan akar umbi, tentu sahaja ahli sangat optimis untuk bekerja dengan parti sendiri.

Walaupun ahli PAS diajar untuk terima dan patuh semua arahan sama ada bertanding sendiri atau membantu kawan, jauh di sudut hati ahli mahukan bendera sendiri yang dijulang. Walaupun ahli akan tetap bekerja kalau parti lain yang perlu dimenangkan, tapi ia bukanlah kemahuan yang diidam.

Ahli yang bekerja atas arahan parti, tidak bekerja untuk kepentingan peribadi. Ahli bekerja tidak mengharap balasan buat diri sendiri, jauh sekali maslahah duniawi. Ahli bekerja atas dasar yakin akan pahala yang dijanji Rabbi. Ahli bekerja demi agama yang dicintai. Ahli fikir kehidupan selepas mati melebihi keuntungan di dunia ini.

Ahli percaya PAS memperjuangkan agenda Islam. Kewujudan PAS bukan kerana tuntutan mana-mana individu, bukan kerana benci kepada sesiapa, tetapi kerana perintah yang Maha Satu. Faktor pendorong untuk terus bekerja dan berkorban hanyalah pahala dan redha Ilahi.  Itulah sebab utama mereka mendaftar sebagai ahli PAS.

Kerana itu apabila diarah bekerja untuk parti yang tidak memperjuangkan Islam, ahli jadi lemah semangat. Faktor pendorong itu dirasakan tiada. Kerja mereka dirasakan tidak menguntungkan akhirat. Kalau menang mungkin akan dapat kuasa, tapi belum menjamin keselamatan di alam sana. Sedangkan kalau merperjuangkan apa yang PAS perjuangkan, walau kalah di dunia tapi tetap meraih ganjaran di sisi Pencipta.

Berada dalam pakatan, ahli menerima arahan untuk membantu parti lain. Ahli akur dengan berat hati. Ahli difahamkan, pahala juga boleh diraih kerana keuntungan sebaliknya kembali kepada PAS. Mustahil pimpinan berpakat kalau merugikan parti sendiri. Ahli cuba memujuk diri.

Tetapi apabila bekerja bersama, ahli PAS mula mengenali hati budi ahli parti lain. Ahli PAS mula tersinggung dengan sikap ahli-ahli parti lain. Bekerja sesama ahli PAS yang berkongsi matlamat sama, sangat berbeza dengan orang yang bekerja demi matlamat yang lain. Namun ahli PAS diarah bersabar demi misi jauh di sebalik pakatan.

Selepas menang, parti lain semakin berani mendabik dada. Parti lain sudah lupa jasa siapa yang menangkan mereka. Bila merasakan mereka sudah kuat, parti lain mula menunjukkan penentangan terhadap agenda PAS.

Ahli makan hati. Ahli semakin keliru, apa untungnya berpakat kalau agenda kita semakin disekat. Ahli mulai muak, tidak lagi berpandangan menolong parti lain menguntungkan matlamat akhirat. Dalam muktamar sentiasa bergema amaran dan pertikaian, mencari identiti yang semakin tenat.

Apabila ada wakil-wakil rakyat PAS tiba-tiba lompat ke parti yang menentang PAS bersama kerusi yang dimenangi, ahli semakin marah. Baiah yang dilafaz dengan mudah mereka langkah. Kepercayaan yang diberi dikhianati tanpa rasa bersalah. Lelah berkempen yang masih belum reda senang-senang dirembat begitu sahaja. Parah.

Sudahlah kerusi dibawa lari, markas dan Pasti pun dibalas sekali. Harta kewangan yang dipegang, dibedal atas alasan aku yang cari. Ahli semakin kecil hati. Hasil titik peluh saban hari yang dikumpul, dibaham tanpa sedikitpun rasa simpati. Mula terasa perlu diajar dengan kaki.

Bila mereka minta kerjasama, mana mungkin ahli sanggup bekerja untuk parti sebegini. Mana mungkin ahli boleh menjulang bendera parti yang mengkhianati mereka sebelum ini. Bukan soal dendam atau benci, tetapi nyata mereka tidak merasa bersalah. Mereka tetap dengan keangkuhan lama dan masih tidak memulangkan hak parti.

Walaupun matlamat pilihan raya mungkin sama; menumbangkan parti zalim dari berkuasa, tetapi ahli PAS tidak berfikir untuk itu sahaja. Ahli siap mencongak apakah sistem yang akan menggantikan sistem sedia ada. Apakah pertukaran ini diredhai Allah, sama sahaja atau menambah murkaNya.

Kalau saban waktu hanya mengkritik individu, kalau cakapnya sekadar mendedah salah laku, ahli PAS bertanya apa solusi untuk itu?

Kalau sikapnya hanya pak turut parti rakan, kalau agendanya tidak termasuk penegakan syariat Islam, ahli PAS mana yang sanggup pertahan?

Tiada guna kalau hanya tukar individu, kumpulan atau parti tetapi dasarnya tetap  kekal begitu. Sekadar janji di mulut mahu memerintah lebih adil, siapa sahaja boleh mengaku. Ahli mahu dasar yang menggantikan adalah Islam yang total, Islam yang solid, Islam asli dan bermutu.

Biar Islam yang menjaga individu jua parti, bukan janji yang belum pasti. Lenin dan Stalin dulu juga menentang korupsi, akhirnya membolot harta negara untuk diri sendiri. Hitler awalnya naik secara demokrasi, namun memerintah secara kuku besi. DAP di Pulau Pinang juga dulu kononnya nak jadi Umar Abdul Aziz, kini dah macam Ali Baba to be.

Kenyataan Presiden disambut baik marhaen. Itulah cara beliau memutus. Sebelum apa-apa langkah politik diambil, suara bawahan didengar dahulu. Sebelum memutus untuk sokong TSKI dahulu, beliau bukan sahaja mendengar taklimat dari pimpinan negeri, bahkan diarah juga unit khas untuk memungut pendapat dari ahli dan rakyat tempatan. Laporan pimpinan mungkin berkait juga dengan kepentingan tersendiri, tetapi bicara ahli tulus tanpa berbasi-basi.

Kini, ahli gembira Presidennya bersama aspirasi mereka. Ahli bangga pimpinan PAS kembali tegas dengan dasar dan matlamat utama. Ahli lega PAS kini memiliki kejantanan untuk berhadapan dengan rakan-rakan pembangkang dan blok ketiga. Kalau dulu ahli pening apa sebenarnya dasar dan matlamat PAS, kini rasa itu sudah tiada.

Orang luar juga semakin jelas apa yang PAS bawa. Pengundi parti Islam tidak lagi keliru mencari di mana Islamnya ia. Musuh semakin buntu, bagaimana pula untuk menuduh PAS menyeleweng dari asolahnya. Soalan-soalan konon PAS diperkuda pihak itu atau ini, mudah ditepis dengan realiti yang ada.

Sedar atau tidak, PAS semakin diminati dan didekati. Setiap hari dikunjungi berbagai lapisan dan personaliti. Dari pihak istana, profesional, pimpinan kaum, pemimpin pelbagai agama, komuniti setempat hinggalah badan tidak berparti. Politik matang dan sejahtera memulihkan fobia rakyat yang alergi terhadap politik ala rimba.

Mereka kata rakyat tidak suka pembangkang yang tidak bersatu. Realitinya ia bukan satu hujahan yang jitu. Bagaimana mahu bersatu, sedangkan yang mengaku berpakat pun haru-biru. Kalau kita duduk bersekali, dengan kita sekali akan berbau. Selain PAS, tiada lagi parti lain yang stabil seperti dahulu. Umno, DAP, PKR dan PAN, semua bergelut mencari titik arah tuju. Kalau aku jadi pemilih, tiada satupun di atas itu yang meyakinkanku.

Hanya PAS yang jelas berpadu.

Oleh itu, tiada apa lagi ahli PAS perlu risaukan. Tiada yang perlu dipersoalkan lagi kepada pimpinan. Kalah menang potensi PRK kali ini bukan halangan yang membantutkan semangat juang. Medan jihad telahpun terbentang. Peluang meningkatkan saham luas terhampar di dihadapan. Mahu atau tidak, hanya tinggal diri sendiri yang memutuskan.

Ayuh ke Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Tunjukkan PAS punya ahli yang semangat berkobar. Melangkah mara tanpa gerun dan gentar. Menggalas panji Islam yang sentiasa berkibar. Buktikan kita pejuang Allah yang sebenar! - HARAKAHDAILY 20/5/2016

 

 

Share on Myspace