BN wajib ditumbangkan pada PRU14

AHMAD AMZAD HASHIM | .

BN masih lagi boleh menang pada PRU13 yang lalu kerana parti Umno masih berupaya menang sebahagian besar kerusi yang majoriti pengundinya orang Melayu.

Sesuai dengan komposisi kaum dalam 29 juta rakyat Malaysia yang orang Melayu punya peratus terbesar, bilangan kerusi yang mempunyai pengundi majoriti Melayu adalah paling banyak.

Kerana itu pada PRU13, walau pembangkang buat catatan luar biasa dengan memperolehi hampir sampai had maksimum sokongan kaum bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat, masih juga tidak boleh menang kerana bilangan kerusi Melayu yg paling banyak terus dimenangi oleh Umno.

BN berkuasa dengan bilangan kerusi yang banyak dimenangi oleh Umno.

Yang boleh memberikan cabaran yang serius kepada Umno di kerusi majoriti Melayu ini hanyalah PAS. Ia perlu diakui oleh semua melainkan kita berterusan mahu membiarkan emosi kita mengawal logik akal sehingga dicengkam Sindrom Penafian (Denial Syndrome).

Gagalnya memenangi PRU13 yang lalu bukanlah kerana kita ketandusan isu. Betul isunya penyelewengan proses pilihan raya, salah guna jentera kerajaan, politik wang, rasuah. Ini sejarah yang berlaku setiap kali pilihan raya perkara yang sama.

Masalah besarnya orang Melayu melihat berbanding pelbagai isu-isu yang dibangkitkan, bila timbul perkara yang asas berkaitan keselamatan kepentingan Melayu dan kesucian Islam, isu isu lain sudah tidak besar lagi.

Pada PRU13, serampang 2 mata yang menjadi propaganda Umno di kalangan orang orang Melayu tentang  Islam dan soal kepentingan orang Melayu.

Mereka dicemaskan tentang DAP. Mereka mempamerkan Pakatan Rakyat sebagai alat agenda penguasaan DAP yang menjadi ancaman agama dan bangsa.

Silapnya PAS dan PKR adalah menbenarkan persepsi ini terus terbentuk dengan sikap pemimpin yang terlalu mengalah dengan tuntutan DAP.

Bagi tujuan menghadapi PRU14 akan datang, pembangkang sedang menawarkan Pakatan Harapan (PH) yang bukan sahaja tidak belajar dari kesilapan struktural PRU13, malah memperkukuhkan lagi pandangan serong orang orang Islam/Melayu bahawa PH menjadi alat kepada DAP dengan tiadanya PAS dalam pakatan itu dan tiadanya pemimpin yg dianggap ketua sebelum ini DS Anwar Ibrahim yang waktu itu masih berupaya mengawal pakatan. Anwar Ibrahim sekarang berada dipenjara.

Pemimpin Tertinggi PKR sekarang tidak dilihat 'menguasai' game plan Pakatan Harapan. Pengarah 'orkestra' ini nyata kelihatannya DAP.

Parti Amanah Negara (PAN) tidak langsung dapat menepis pandangan ramai bahawa mereka sekadar kelompok kecewa yang merelakan diri menjadi 'alat' DAP.

Jika beginilah rupa tawaran kepimpinan yang mahu diserahkan kepada rakyat membuat pilihan pada PRU14, sebuah pakatan yang 'boss' (ketua) sebenarnya adalah DAP, adakah penerimaan pengundi Melayu akan jadi lebih baik?

Asasnya diawal lagi kita sudah nyatakan, tiada kemenangan pakatan pembangkang selagi tidak menguasai bahagian yang besar dari kerusi majoriti Melayu.

Fokus yang dibuat oleh PAS sekarang dalam memecahkan tembok pemisah yang menghalang usaha mendekati mereka yang pernah jadi pengundi Umno nyata berjaya. Pendekatan Politik Matang dan Sejahtera PAS memikat banyak pihak.

Ketegasan dalam isu-isu yang sensitif kepada Islam dan Melayu khususnya dalam berdepan dengan DAP mendorong ramai yang mahu turut berdiri bersama memperkukuhkan PAS.

Orang Melayu punya 'vakum' (kekosongan) yang perlu diisi. Kita ketiadaan pemimpin yang sanggup 'lawan cancang' dengan sesiapa sahaja yang berani sentuh kesucian agama Islam dan kepentingan Melayu.

Umno cuba berlagak hero mengisi vakum ini dengan bermain-main dengan sentimen perkauman yang menyesatkan. Rasis. Dalam masa yang sama Umno sendiri diperhati rakyat melutut kepada MCA, tidak berani menyokong naikkan sikit taraf mahkamah syariah.

Agar jangan dibiarkan terlalu sangat rendah tarafnya, lebih rendah dari mahkamah terendah dalam kehakiman biasa. Mereka yang jual kepentingan Melayu. Tanah rezab Melayu 70% lebih sudah hilang.

PAS tegaskan Islam menentang rasisme. Tak salah kasihkan kaum sendiri dan jaga kepentingannya. Yang salah menghasut kebencian kepada kaum lain. Khianat. Rampas hak. Mempertahankan kejahatan dan kesalahan kaum sendiri. Itu tak boleh. Salah tetap salah walau dari kaum sendiri.

Ketegasan dan kadang-kadangnya 'keras bertempat' yang kena pada masanya ditunjukkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengisi kekosongan yang amat diperlukan oleh orang Islam/Melayu.

Ini antara resepi yang sedang diadun oleh PAS dalam agenda menumbangkan BN.

Selebihnya menyediakan pasukan yang cukup berwibawa, cukup sakhsiah islaminya, baik fikrah dan akhlaknya, berkelayakan, seimbang.

Supaya tidak lagi timbul wakil rakyat PAS setakat jadi menteri agama cukuplah. – HARAKAHDAILY 20/5/2016

Share on Myspace