Peranan pendidik siapkan generasi hadapi zamannya

IZWAN ABDUL HALIM | .

BUKIT KATIL: Para pendidik mesti mempunyai kepekaan terhadap jangkaan masa depan agar mampu menyediakan anak bangsa terhadap zamannya.

Seruan tersebut dinyatakan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Himpunan Pendidik Islam Malaysia Peringkat Kebangsaan di Bukit Baru, di sini hari ini.

Terangnya, anak-anak bangsa mesti bersedia dan dipersiapkan oleh para pendidik agar menjadi generasi yang mampu menempuhi zaman mereka.

"Untuk beri pendidikan yang baik, berkesan dan sempurna, maka rujukannya adalah peribadi Rasulullah SAW. Baginda adalah model terbaik yang dididik terus oleh Allah SWT.

"Maka pendidik berperanan bimbing dan membawa mereka ke jalan benar serta kembali kepada fitrah mengenal Allah melalui pendidikan," ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Terdahulu, Datuk Mohd Amar dalam ucapannya memaklumkan tujuan program tersebut bertujuan menghimpunkan para pendidik Islam dari seluruh negara.

Menurutnya, pendidik dari pelbagai lapisan dan latar belakang itu perlu digabungkan agar fikiran dan idea mereka dapat dimanfaatkan.

Khususnya ujar beliau dalam usaha merancang untuk meningkatkan kemajuan pendidikan yang bukan bersifat kerajaan.

"Di mana akhirnya mengukuhkan sistem pendidikan negara dan melahirkan generasi beriman kepada Allah. Juga memberi penghargaan dan penghormatan kepada warga pendidik," jelas beliau. – HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace