Iktibar daripada kegagalan Universiti Harvard

IZWAN ABDUL HALIM | .

BUKIT KATIL: Pendidikan tinggi dan kecemerlangan akademik tidak memberi erti tanpa kerohanian dan kemanusiaan, sebaliknya hanya membawa bencana dan krisis kepada dunia.

Mesej tersebut dinyatakan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika menyampaikan tausiyah pada Himpunan Pendidik Islam Kebangsaan di Bukit Baru, di sini hari ini.

Beliau mengungkap kejayaan Universiti Harvard melahirkan ramai individu dan penjawat penting khususnya dalam Kerajaan Amerika Syarikat.

Menurutnya, mereka itu bukan sahaja cendiakawan, tetapi juga pembuat polisi terhadap dunia.

Malangnya ujar beliau, di sebalik kehebatan itu, mereka hakikatnya lahir sebagai binatang kapitalis yang hanya memenuhi hawa nafsu, kepuasan dunia, kedudukan tinggi dan segala kehendak berkait duniawi.

"Hanya difikirkan apa yang hendak dipakai, kediaman bagaimana dan apa dimakan. Tiada kerohanian dan kemanusiaan. Sanggup lakukan apa sahaja termasuk eksploitasi harta kekayaan negara.

"Gejala ini rupanya tidak berlaku dalam pendidikan Barat sahaja, tetapi telah merebak di seluruh dunia, termasuk dalam negara-negara Islam dan juga pendidikan negara kita," ujarnya menyatakan kebimbangan.

Tegasnya, pernyataan itu bukan bermaksud menolak kecemerlangan akademik, tetapi sikap mengagungkan akademik hingga mengorbankan kepentingan jiwa kerohanian dan kemanusiaan adalah satu bencana.

Situasi tersebut katanya, dapat dilihat di dalam masyarakat dan kalangan pendidik hari ini yang sibuk  mengaturkan seminar, kelas tuisyen dan seumpamanya.

"Hari ini tiada lagi anak-anak makan bersama ahli keluarganya, sukar melihat anak-anak bermain bersama kawan-kawannya. Berbaris bersama kawan menuju ke rumah guru Quran dan memberikan khidmat.

"Tiada lagi anak-anak mandi di sungai, bermain di padang dan menikmati keindahan alam kerana sibuk di kelas tambahan.

"Ibu bapa pula tidak ke surau madrasah, solat berjamaah dan mengaji kitab, mendengar kuliah. Kerana pada waktu-waktu itu sibuk berada di pagar sekolah.

"Apakah generasi akan kita lahirkan kalau begini? Tidak mesra adik-beradik, tidak kenal kawan jiran. Tiada ruang persahabatan dalam jiwa. Tidak nikmati alam, bagaimana akan kasihkan alam sekitar?" ujarnya memperinci hambatan akademik masa kini.

Menurutnya, kerana terlalu mengejar 'A' dan kecemerlangan akademik, akhirnya runtuh sistem kekeluargaan, masyarakat dan alam sekitar, semata-mata semua itu lampias hawa nafsu.

Beliau turut mengungkap perilaku jenayah hari ini di mana mereka yang tiada pendidikan antara punca berlakunya kes kecurian dan seumpamanya dalam masyarakat.

Tetapi jelasnya, jenayah juga dilakukan oleh mereka yang berlatar belakang pendidikan tinggi dan cemerlang akademiknya melalui penyelewengan hingga berbilion ringgit.

"Siapa sanggup tangkap golongan seperti ini? Inilah natijah pendidikan tanpa roh yang menimbulkan krisis. Maka perlu ada gerakan pendidikan untuk mengembalikan manusia kepada tugas sebenar.

"Guru mesti membawa insan kembali kepada bertauhidkan Allah. Justeru, pendidikan berkualiti bukan hanya semata tema, tetapi mesti direalisasikan dengan serius dan kesungguhan sebagai usaha teras.

"Juga mengembalikan agar masyarakat menjadikan guru sebagai pelita hidup mereka," seru beliau.

Beliau juga mengajak para warga pendidik menjadi seumpama bumi yang subur dan benih baik dengan dibaja dan diairi sebaiknya.

Lalu mereka katanya, akan tumbuh sebagai pohon yang memutik bunga nan cantik dipandang mata serta buah manis untuk dinikmati.

Pendidik serunya lagi, jangan menjadi seperti bumi gersang yang ditanam benih tanpa diketahui punca hingga menumbuhkan pohon berduri dan berbuah pahit lagi beracun. – HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace