PAS Selangor fokus untuk menang PRK Sungai Besar

HARAKAHDAILY | .

Pagi tadi saya telah melancarkan Program Insentif Untuk Pangsapuri Kos Rendah Sempena Kempen Jimat Air Negeri Selangor 2016.

Pelancaran telah diadakan di PPRK Kampung Baru HICOM, Seksyen 26, Shah Alam.

Selepas pelancaran telah diadakan sidang akhbar seperti biasa.

Setelah menjawab soalan-soalan berkaitan program tersebut, wartawan-wartawan telah bertanya tentang PRK Sungai Besar.

Saya telah memberitahu mereka saya tidak akan menjawab apa-apa soalan tentang PRK itu tetapi akan membaca kenyataan seperti berikut:

Fokus PAS sekarang adalah untuk memenangi PRK Sungai Besar.

Fokus PAS sekarang adalah untuk memenangi Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Kami sudah menggerakkan jentera tempatan, jentera kawasan-kawasan di Selangor dan jentera negeri-negeri.

Sungai Besar adalah kerusi tradisi PAS dan keputusan PAS untuk bertanding di situ tidak sepatutnya dipertikaikan oleh sesiapa.

Kami yakin PAS mempunyai peluang yang cerah pada PRK ini kerana terdapat pelbagai isu tempatan dan nasional akibat dari kebobrokan pentadbiran Umno Barisan Nasional.

Saya yakin jentera dan ahli-ahli PAS akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada PRK ini dan tidak akan melayani isu-isu yang bertujuan untuk mengganggu tumpuan ini.

Mengenai isu-isu kerajaan negeri yang sedang mendapat perhatian media, kami serahkan kepada pimpinan tertinggi PAS untuk diselesaikan dengan baik.

Media juga telah membuat spekulasi tentang pertemuan di antara YAB Datuk Menteri Besar dan Exco-Exco PAS.

Kandungan pertemuan tersebut adalah tidak penting tetapi yang penting adalah pengumuman beliau semalam bahawa PAS kekal bersama pentadbiran kerajaan negeri.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
14 Syaaban 1437 / 21 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace