Program insentif, jimat air dapat RM5,000

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Program insentif bagi pangsapuri kos rendah sempena Kempen Jimat Air Negeri Selangor 2016 dilancarkan bagi menggalakkan rakyat khususnya penduduk pangsapuri menyahut seruan kerajaan negeri menjimatkan air.

Program itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad bertempat di Pangsapuri PPR Hicom, Seksyen 26, Shah Alam.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa peka dengan senario pembaziran air yang sering kali berlaku terutama di negeri itu.

Tambah beliau, kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan galakan masyarakat terutama penduduk di pangsapuri kos rendah supaya lebih peka dan mengambil bahagian menjimatkan air.

“Insentif ini dikaji lagi untuk ditambah nilainya. Dua kali ganda nilai daripada sekarang pun tidak mengapa,” kata beliau dipetik Selangor Kini.

Pangsapuri yang mendapat penurunan peratusan tertinggi bakal menerima RM5,000 manakala kedua tertinggi mendapat RM3,500 diikuti RM2,500 di tempat ketiga manakala RM1,000 diberikan sebagai hadiah saguhati.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Gotong-Royong Perdana di pangsapuri itu bertujuan mewujudkan persekitaran sihat penduduk.

Menurut beliau, persekitaran kotor itu berpunca sikap segelintir penduduk tidak bertanggungjawab membuang sampah menyebabkan persekitaran kotor dan mengundang jangkitan penyakit seperti denggi, malaria, kencing tikus dan sebagainya.

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan jangkitan denggi di Selangor, kita perlu memberi perhatian serius memastikan ia dibanteras,” kata beliau.

Beliau berharap program itu memupuk sikap kerjasama masyarakat bukan hanya dalam isu keselematan tetapi juga soal kebersihan.

“Program ini harus dijadikan permulaan penduduk meneruskan program gotong-royong di masa akan datang,” kata beliau.

Share on Myspace