Presiden PAS dedah usaha barat hancur Gerakan Islam

HARAKAHDAILY | .

PRESIDEN PAS DEDAHKAN USAHA BARAT UNTUK MENGHANCURAN GERAKAN ISLAM (21 MEI 2007)

PADA hari ini dalam tahun 2007, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mendedahkan peranan yang sedang dimainkan oleh Barat, terutama CIA menerusi Rand Corporation untuk melemahkan gerakan Islam di seluruh dunia, termasuk PAS.

Beliau mendedahkan demikian dalam satu temuramah dengan wartawan Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Mohd Rashidi Hassan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Presiden PAS itu memberi tahu, konflik kepemimpinan yang berlaku dalam PAS dan perebutan jawatan utama dalam parti adalah kesan dari tindakan "musuh-musuh Islam antarabangsa yang turut memainkan peranan aktif" terutama oleh "badan yang ditaja oleh Barat, diwujudkan oleh CIA, iaitu Rand Corporation".

Rand Corporation adalah sebuah kumpulan pemikir dasar global Amerika Syarikat (AS) yang ditubuhkan pada 1948, kemudian menjadi pemikir utama dasar luar AS sejak berakhir Perang Dingin serta pertembungan baru Barat dan Islam dalam teori The Clash of Civilization.

Dalam menghadapi kebangkitan gerakan Islam, laporan Rand Corporation pada 2003 yang bertajuk Civil Democratic Islam telah membahagikan umat Islam kepada empat golongan iaitu fundamentalis, tradisionalis, modernis dan sekularis.

Mereka merancang untuk memperalatkan kelompok tradisionalis dan modernis bagi menghadapi fundamentalis, iaitu kumpulan yang dikatakan menentang budaya demokrasi Barat dan mahu menegakkan negara Islam yang melaksanakan syariat.

Pada 16 Mac 2006, Rumah Putih telah menerbitkan National Security Strategy yang menjelaskan strategi AS untuk menghadapi Islam. Pada 2007, Rand Corporation menerbitkan laporannya yang bertajuk Building Moderate Muslim Network yang mengatur strategi mengukuhkan kedudukan golongan moderate liberal dalam masyarakat Islam yang dikatakan tidak seimbang dalam menghadapi kemaraan gerakan Islam 'fundamentalis' yang mahu menegakkan Islam kaffah.

Rand Corporation telah menyenaraikan ciri-ciri golongan Muslim moderat liberal yang akan mendukung rancangan mereka  seperti pendukung demokrasi, pejuang hak asasi manusia, kebebasan agama dan kesetaraan gender, pendukung pluralisme, golongan yang menerima sumber hukum bukan mazhab dan penentang terorisme.

Antara strategi yang disusun oleh mereka ialah menyokong gerakan modernis Islam yang mempromosi fahaman Islam liberal, melagakan kelompok fundamentalis dengan golongan tradisional dalam isu agama termasuk mazhab, menentang perjuangan fundamentalis dalam menegakkan negara Islam dan mendukung sekularisme.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi, Barat bertujuan untuk mewujudkan kebebasan demokrasi tanpa syariat kepada umat Islam seperti yang dilakukan terhadap negara komunis.

Usaha Barat mewujudkan Islam moderat adalah untuk merosakkan aqidah dan syariat Islam melalui kelompok yang dipanggil Islam Liberal atau Post Islamism. Mereka mahu mewujudkan parti Islam yang didukung oleh Muslim sekular melalui parti Islam pro agenda demokrasi sekular Barat.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi turut mendedahkan bahawa sejak kebangkitan Islam pada awal 1990-an, golongan berpendidikan Barat mula bersama gerakan Islam termasuk PAS untuk tegakkan syariat secara menyeluruh.

Barat bertindak balas dengan mewujudkan jurang ulama dan bukan ulama (profesional) yang akhirnya memecahkan kepemimpinan gerakan Islam.

Beliau mengingatkan ahli-ahli PAS supaya peka dengan strategi Barat ini, kerana ahli-ahli yang tidak peka akan terpengaruh dan menjadi alat kepada strategi Barat ini. Tend perebutan jawatan utama dalam parti sejak alaf baru ini, menurut Presiden PAS itu juga adalah kesan dari strategi Barat ini.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
21 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace