PAS Pahang bantah program luncur air

HARAKAHDAILY | .

Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang sangat kesal apabila mendapat maklumat bahawa satu program berbentuk riadah Slide The City atau luncur air akan diadakan di IM14 & 15, Kuantan pada 21 dan 22 Mei ini.

Program yang mendapat kebenaran pihak kerajaan negeri dan dipromosikan melalui sektor pelancongan itu dilihat bukan hanya menyebabkan kesesakan lalu lintas, terutama kepada penduduk berhampiran. Bahkan program tersebut jelas bertentangan dengan adab dan budaya ketimuran masyarakat di negara ini, apabila pihak penganjur meletakkan syarat kepada mereka yang ingin terlibat dalam aktiviti luncur air ini mesti mengenakan pakaian mandi. Selain akan berlaku percampuran lelaki dan wanita dengan bebas.

Lebih malang apabila program ini diadakan di saat umat Islam akan menyambut Nisfu Sya'ban dan tinggal beberapa hari sahaja lagi menunggu kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang mengecam tindakan pihak penganjur yang dilihat tidak peka dan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam. Lebih-lebih lagi, apabila mereka menggunakan gambar masjid sebagai ikon untuk program mereka di negeri Pahang sedangkan ianya berunsur maksiat.

Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang juga melihat lebih banyak kesan negatif berbanding perkara yang baik daripada aktiviti yang diadakan ini. Selain ianya menjadi bukti bahawa kerajaan negeri ketandusan idea berkualiti dalam menjana ekonomi negeri melalui sektor pelancongan.

Badan Perhubungan PA Negeri Pahang juga mengharapkan kerajaan negeri mendengar bantahan yang telah disuarakan oleh Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Pahang melalui surat yang ditujukan kepada YB Pengerusi Pelancongan & Kebudayaan Negeri, yang juga mewakili suara umat Islam di negeri ini.

Justeru, Badan Perhubungan PA Negeri Pahang mendesak agar program ini dihentikan dan mengharapkan agar pihak kerajaan negeri lebih cermat dalam memberi keizinan kepada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan program di negeri pada masa akan datang. Bukan sekadar memikirkan keuntungan material semata-mata.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

Ustaz Rosli Abdul Jabbar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
14 Sya'ban 1437 / 21 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace