Ikatan puji PAS konsisten perjuang bahasa

IZWAN ABDUL HALIM | .

BUKIT KATIL: PAS ternyata konsisten memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini, demikian perakuan Presiden Parti Ikatan Bangsa Melayu (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadzir.

Katanya, beliau menyokong penuh kesungguhan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang terus menyatakan ketegasan PAS terhadap penggunaan Bahasa Melayu.

"Nampaknya antara perjuangan utama PAS yang kekal ketara adalah supaya Bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa nasional yang dipelajari dan digunakan seluruh rakyat.

"Sejak Laporan Razak, dari Parlimen lagi, perkara ini telah kita (rakyat Malaysia) persetujui. Jadi kita Ikatan selari dengan pendirian PAS dalam perkara ini.

"Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu ini akan jadi perjuangan bersama PAS dan Ikatan. Kita mahu Bahasa Melayu didaulatkan," ujarnya pada Himpunan Pendidik Islam Malaysia Peringkat Kebangsaan di Bukit Baru, di sini hari ini.

Menurutnya, dahulu Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan Menteri-menterinya begitu fasih menggunakan Bahasa Melayu.

Tetapi sebaliknya ujar beliau, Malaysia pula mengabaikan kepentingan bahasa tersebut hinggakan terdapat kementerian yang kini menggunakan Bahasa Inggeris dalam surat rasmi.
 
Sementara itu, mengulas mengenai Deklarasi Rakyat yang digerakkan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mengingatkan agar hak rakyat terus dipelihara.

Terangnya, sejak merdeka lagi soal penentuan kuasa pemerintahan negara telah diberikan hak kepada rakyat.

"Negara ini kepunyaan rakyat dan rakyat yang akan menentukan siapa menjadi kerajaan menerusi pilihan raya. Perkara ini telah nyata dan terang (dalam Perlembagaan Negara) diterima selama ini, jadi kenapa terus bermain soal pokok ini?

"Jadi biar rakyat tentukan menerusi pilihan raya secara bebas siapa wakil rakyat. Parlimen hari ini kuat menyokong BN dan Najib, maka suka atau tak suka kita kena terima hakikat itu dengan tunggu pilihan raya.

"Tunggu kerajaan serah mandat pada rakyat dan biar kuasa rakyat tentukan. Harap jangan permainkan asas demokrasi negara ini yang telah termaktub sejak merdeka itu dipermainkan," ujar beliau. – HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace