Tazkirah dalam hidup setiap muslim

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Setiap muslim di dalam melayari kehidupan di dunia terlalu berhajat kepada peringatan (tazkirah) agar kita sentiasa sedar dan kekal istiqamah berada di jalan agama yang lurus.

Dunia diciptakan Allah dengan segala tarikan dan berahi yang dengan mudah sahaja boleh melalaikan kita, bahkan memabukkan kita daripada mengingati akhirat. Dunia adalah perangkap dan ujian Allah ke atas manusia, sesuai dengan matlamat penciptaan manusia agar Allah memilih daripada kalangan mereka para hamba-NYA yang terbaik menyembah-Nya.

Peringatan pula mudah sekali diabaikan oleh manusia, apatah pada saat diri sedang hanyut dilamun keseronokan dan kelalaian duniawi. Justeru manusia sering memusuhi peringatan yang sifatnya adalah menarik dan menghentikan mereka daripada terheret dan terjerumus jauh ke dalam perangkap besar dunia.

Sebagaimana manusia akan menjauhi dirinya daripada orang yang memusuhinya, begitulah peringatan. Semakin peringatan (tazkirah) diherdik dan disia-siakan, semakin ia menjauhi, mengecil dan menghilang daripada seseorang. Tiba saatnya, manusia akan terus hidup lalai dan semakin sukar untuk kembali ke pangkal sehinggalah dia dijemput ke alam barzakh. Saat itu tiada lagi gunanya peringatan dan taubat.

Maka kita haruslah menerima peringatan atau tazkirah sebagai teman kehidupan. Ia adalah kemestian kehidupan. Ia bagaikan makanan kepada jiwa sebagaimana nasi adalah makanan kepada tubuh badan. Biarkanlah peringatan itu sentiasa mengoreksi diri kita walau seperit manapun kepahitannya.

Peringatan diperolehi melalui dua cara. Pertama, dari dalam diri sendiri. Kedua, melalui bantuan dari luar.

Adapun melalui diri sendiri, ia adalah dengan membinanya dengan amalan dan ibadah yang membantu diri agar sentiasa sedar dan beringat. Muslim yang menjaga solat lima waktu dengan baik akan menikmati peringatan yang hebat. Membiasakan diri dengan amalan membaca al-Quran, zikir dan istighfar juga begitu membantu. Begitulah dengan amalan-amalan ibadah yang lain seperti puasa, qiamul lail dan membaca buku agama.

Adalah perlu sekali diingatkan bahawa memperkukuhkan tauhid dalam diri dan membersihkannya daripada sebarang bentuk syirik adalah seperti 'alert' dalam diri yang begitu sensitif dengan calar dan serangan duniawi ke atas diri.

Adapun peringatan melalui bantuan luar, maka ia adalah dengan menghubungkan diri kita dengan unsur-unsur yang baik dalam kehidupan. Ia bermula dengan mendampingi para ulama, menghormati dan mentaati mereka pada urusan agama. Begitu juga dengan memilih dan bersama teman dan rakan yang baik, menghadiri majlis ilmu, dakwah dan kebajikan.

Menggabungkan diri di dalam jamaah Islam adalah antara bantuan luar paling hebat di dalam memberi peringatan kepada diri seorang muslim untuk kekal sedar dan istiqamah dengan agama Islam. Jamaah adalah seperti kota yang teguh yang membentengi diri daripada serangan musuh yang sentiasa mengumpan dengan tarikan-tarikan yang melalaikan.

Begitulah tazkirah dalam kehidupan setiap muslim. Justeru cintai tazkirah. - HARAKAHDAILY 21/5/2016

Share on Myspace