Dewan Ulamak PAS bertemu Sekolah Agama Rakyat

HARAKAHDAILY | .

DEWAN ULAMAK PAS ANJUR PERTEMUAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT (22 MEI 1952)

PADA hari ini dalam tahun 1952, Dewan Ulamak PAS telah menganjurkan satu Perjumpaan Sekolah-sekolah Agama Rakyat di Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas yang bertujuan untuk memperbaiki mutu sekolah agama rakyat di Malaya.

Ini adalah program pertama Dewan Ulamak PAS sejak ia ditubuhkan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3 April 1952. Dewan Ulamak PAS sejak ditubuhkan telah diketuai oleh Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim.

Pertemuan Sekolah-sekolah Agama Rakyat yang dihadiri oleh pimpinan dari 38 buah sekolah agama rakyat ini meliputi kawasan Seberang Perai, Pulau Pinang, Kedah Selatan dan Perak Utara. Ia dipengerusikan oleh Sheikh Abdullah Fahim sendiri dengan dua tujuan utama, iaitu:

I. Menyusun untuk menyatukan pentadbiran dan sukatan pelajaran Sekolah-sekolah Agama Rakyat; dan

II. Berikhtiar untuk mengadakan satu kumpulan wang untuk membangunkan Sekolah-sekolah Agama Rakyat.

Dalam perjumpaan pada 22 Mei 1952 ini, semua pimpinan sekolah agama rakyat yang hadir telah bersetuju supaya Dewan Ulamak PAS dapat menyatukan sekolah agama rakyat dengan segera kerana masalah pentadbiran yang tidak selaras dan sukatan pelajaran yang berbeza telah menyebabkan lepasan sekolah agama rakyat tidak mempunyai kebolehan yang sama.

Mereka juga bersetuju supaya satu dana pelajaran diwujudkan untuk membantu membangunkan sekolah agama rakyat dalam semua aspek. Ketika membahaskan perkara kumpulan wang untuk sekolah agama rakyat ini, seorang ulamak terkenal, Sheikh Ali Balderam mencadangkan supaya Dewan Ulamak PAS berunding dengan Raja-raja Melayu bagi mendapatkan dana tersebut, tetapi pandangan ini ditolak oleh Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan kerana berpandangan "kita tak usah minta pertolongan dan mengharap-harapkan bantuan Raja-raja Melayu kerana selalu permintaan kita itu hampa dan kecewa".

Kerana pendirian yang ambil dalam perjumpaan ini, Dewan Ulamak PAS telah mengadakan kutipan derma daripada umat Islam dan menjual tulisan khat untuk mengisi dana Sekolah Agama Rakyat.

Pada 14 Jun 1952, Dewan Ulamak PAS telah mengadakan kutipan derma dan jualan tulisan khat dari kedai ke kedai di Bandar Pulau Pinang dengan disertai sendiri oleh Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan dan Sheikh Abdullah Fahim, selain Ustaz Haji Ahmad Maliki (Setiausaha Agung PAS), Haji Sulaiman Palestin dan Mohamad Hanif.

Usaha serius Dewan Ulamak PAS untuk membantu sekolah agama rakyat telah mendapat pujian dari media massa yang menyifatkan ini adalah bukti penubuhan PAS adalah "adalah untuk kepentingan Islam, bukan individu tertentu". Bertolak dari itu juga, terdapat suara-suara supaya PAS mengambil alih usaha penubuhan Kolej Islam Malaya.

Pada 3 Julai 1952, seorang pembaca Warta Negara dari Melaka mencadangkan demikian setelah Jam'iyatul Dakwatul Islamiyah Singapura dan Umno gagal berbuat demikian.

Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 21-22 Februari 1950, isu penubuhan Kolej Islam Malaya ini telah menjadi salah satu resolusinya.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 22/5/2016

Share on Myspace