Projek pusat lewat punca tinggal di rumah transit

ASLANI M | .

KUALA KRAI: Projek rumah kekal di bawah kerajaan pusat di penempatan baharu yang diwujudkan untuk mangsa bah besar Disember 2014 di sini baru sahaja bermula.

Keadaan itu menyebabkan sebahagian mangsa banjir yang tiada lot sendiri terpaksa menumpang di rumah transit termasuk di Kuala Krai dan Gua Musang.

Antara projek tersebut termasuk di tanah milik beberapa agensi kerajaan pusat di Sungai Durian dan rezab haiwan di Kuala Nal, Kuala Krai.

Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman berkata projek rumah kekal di bawah kerajaan pusat di beberapa penempatan di Kuala Krai baharu sahaja bermula.

Sedangkan katanya, penempatan baharu di bawah kerajaan negeri sudah lama diduduki termasuk di Telekong dan Kampung Manek Urai.

“Kelewatan projek dimulakan menyebabkan masih ada mangsa banjir yang tidak mempunyai lot sendiri terpaksa menumpang di rumah transit sehingga sekarang,” katanya di sini.

Baru-baru ini Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menyebut prestasi keseluruhan projek pembinaan Rumah Kekal Baharu untuk mangsa banjir kurang memuaskan.

Menurut laporan itu kemajuannya 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah yang masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lepas.

Laporan berkenaan juga mendakwa mangsa banjir tinggal di rumah transit dan khemah disebabkan rumah untuk mereka belum siap dibina.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Dato’ Abdul Fattah Mahmood memberitahu rumah yang sepatut dibina kerajaan pusat sebanyak 1,036 unit dan kerajaan negeri (635 unit).

Jumlah keseluruhan rumah yang rosak sepenuhnya akibat banjir besar akhir 2014 sebanyak 1,671 buah setelah penapisan beberapa kali.

Abdul Latif juga berkata, ada mangsa banjir yang mendapat rumah baharu atau tinggal di rumah transit masih belum meroboh khemah.

“Ada juga yang mahu menagih simpati daripada pelawat luar yang datang. Jadi laporan Ketua Audit Negara masih ada khemah mangsa banjir tidak tepat.

“Di Kuala Krai tidak ada yang tinggal di bawah khemah sebagaimana disebut dalam laporan tersebut,” katanya. - HARAKAHDAILY 23/5/2016

Share on Myspace