Yik nafi biayai pinjaman pelajar PhD

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (Yik) menafikan ada mengeluarkan pinjaman bagi membiayai pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD) yang dikesan beredar di medan sosial sejak 18 Mei lalu.

Pengarahnya Tengku Ab Rahman Tuan Yunus berkata pihaknya memandang serius berhubung penyebaran maklumat palsu itu.

“Yik menafikan kandungan sebaran berkenaan yang menawarkan kadar pinjaman RM3,000 bagi pengajian peringkat PhD dan RM2,500 peringkat sarjana bagi sepenuh masa.

“Yik tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau sebarang bantuan pengajian sebagaimana yang tersebar di medan sosial,” katanya di sini.

Sehubungan itu Yik membuat laporan polis 20 Mei lalu yang diwakili Timbalan Pengarah Pengurusan Mohd Kamaruddin Omar di Ibu Pejabat Polis Pasir Mas.

Tengku Ab Rahman juga berharap orang ramai berhati-hati terhadap sebaran maklumat palsu itu sama ada diterima melalui sistem pesanan ringkat (sms) atau whatsApp. - HARAKAHDAILY 23/5/2016

Share on Myspace