Iklan: Keluar fatwa larang eksploitasi Ramadan

SM MOHAMED IDRIS | .

“Bufet Ramadan... Majlis Berbuka Puasa di hotel ini dikenali antara yang paling menarik... Telah menarik pelanggan yang bertambah untuk penghiburan korporat dan jamuan selera keluarga... Menunya meliputi lebih daripada 100 hidangan sehari... Sambil berbuka puasa anda akan dihiburkan dengan persembahan muzik Ghazal Asli... Surau juga disediakan untuk kemudahan pengunjung Muslim... RM95 untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak...”

Iklan ini disiarkan dalam akhbar harian tempatan pada hari terakhir bulan Rejab tahun ini, satu bulan sebelum Ramadan. Lebih banyak iklan seperti ini akan muncul apabila kita semakin hampir dengan Ramadan yang akan mempromosikan pakaian, kasut, permaidani, langsir dan barangan serta perkhidmatan lain.

Iftar, berbuka puasa, secara tradisinya di rumah bersama dengan ahli keluarga atau di masjid dalam suasana penuh dengan keberkatan telah bertukar kepada “pesta makanan dengan 100 jenis hidangan” dan “penghiburan korporat”. Nabi Muhammad S.A.W. berbuka puasa dengan hanya tiga biji kurma.

Ramadan adalah bulan suci dalam Kalendar Islam apablia Al-Quran diturunkan kepada Nabi S.A.W. Allah berfirman di dalam Al-Quran bahawa berpuasa itu difardukan ke atas umatnya adalah untuk mencapai ketakwaan dan sabda Nabi S.A.W. bahawa “Allah berfirman, setiap perlakuan anak Adam adalah untuk mereka kecuali berpuasa, ia adalah semata-mata untuk Kami, Akulah yang akan memberikan ganjaran kepadanya. Puasa itu adalah perisai.”

Ramadan sepatutnya menjadi bulan untuk beribadat bagi umat Islam memandangkan ia adalah bulan di mana syaitan dirantai, Allah memberikan peluang kepada umat Islam apabila umat Islam secara berjemaah mengabdikan diri mereka untuk menambah dan mengukuhkan lagi takwa mereka.

Ia adalah bulan yang mulia dan ia telah dicemari dengan promosi berbuka puasa di hotel ala pesta makan dan perbelanjaan yang membazir. Komersialisasi Ramadan ini merupakan satu perkara yang menyinggung perasaan umat Islam sama seperti mana orang Islam yang makan di tempat terbuka pada bulan puasa.   

Berpuasa bukan hanya mengelakkan daripada makan semata-mata tetapi memastikan semua deria kita di bawah kawalan supaya tidak melakukan perkara yang berdosa seperti bersikap lahap, berbohong, menikam dari belakang, membazirkan masa, dan menindas orang lain. Umat Islam dikehendaki meluangkan masa untuk mendirikan solat, mengingati Allah, menolong mereka yang miskin dan memerlukan, dan mengamalkan kebajikan. Puasa kita tidak bermakna melainkan kita berusaha untuk menjadi lebih bertakwa. Jika tidak ia seperti mana yang disabdakan oleh Nabi S.A.W. bermaksud: “Ramai yang berpuasa malangnya mereka tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga”.

Islam menganjurkan pengikutnya agar menjauhkan sikap pelahap, membazir dan boros. Nabi S.A.W. bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam itu memenuhi suatu kantung yang lebih buruk dibanding perutnya; bagi anak Adam sedikit makanan cukup untuk menguatkannya. Jika anda hendak mengisinya, maka cukuplah sepertiga dari perutnya untuk makanan, sepertiga lainnya untuk minuman dan sepertiga lainnya untuk nafasnya”. Amat bertentangan sekali dengan ajaran ini, sesetengah daripada kita makan dan minum dengan lahap sehingga menjadi malas dan mengabaikan solat Terawih malah solat wajib. Bersikap lahap juga memberikan kesan sampingan kesihatan yang amat serius seperti diabetes, penyakit koronari, dan tekanan darah tinggi bagi mereka yang menurut hawa nafsu.

Pelbagai jenis makanan yang berlebihan yang disediakan dengan begitu banyak untuk berbuka puasa dan bersahur turut membawa kepada pembaziran. Banyak makanan dibuang oleh pihak hotel dan keluarga ke dalam tong sampah. Pada tahun lepas Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal  dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan bahawa setiap Ramadan 200,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah. Jumlah makanan ini boleh memberi makan kepada 180 juta orang. Secara purata 9,000 tan makanan dibuang setiap hari pada bulan Ramadan. [The Star Online, 19 June 2015].

Membuang makanan adalah satu dosa kerana ia menafikan makanan untuk mereka yang lebih memerlukan dan untuk generasi masa depan. Ia juga melupuskan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai dan pengeluaran karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global. Salah satu tujuan utama berpuasa ialah untuk turut merasakan erti kesengsaraan oleh kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir supaya kita akan turut bersimpati dengan nasib mereka. Berjuta orang di Syria, Yaman, Iraq, Palestin, Myanmar, India, Ethiopia, Sudan Selatan, Pakistan dan Afghanistan berdepan dengan kebuluran, tetapi malangnya kita membuang sejumlah besar makanan di dalam bulan yang mulia ini.

Al Quran mengecam mereka yang membazir dan bersikap boros sebagai saudara syaitan. [Surah Al-Isra Ayat 26, 27] Seterusnya, Allah berfirman di dalam Al-Quran, maksudnya: “...dan makanlah dan minumlah dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” [Surah Al-Araf Ayat 31]

Stesen televisyen juga turut menyiarkan drama, komedi dan hiburan yang mensasarkan mereka yang berpuasa. Ramai keluarga yang menghabiskan masa di hadapan televisyen berbanding di masjid untuk lebih rapat dengan Allah dengan bersolat dan aktiviti ibadah yang lain. Di beberapa negara Arab, khemah Ramadan disediakan bagi menyediakan jamuan mewah dan hiburan malam sehingga waktu sahur. Satu portal atas talian melaporkan pada 2014:

“Kebanyakan rantau [Asia Barat] bertukar menjadi aktif pada waktu malam pada bulan suci, jadi ia adalah peluang terbaik untuk menarik penonton, yang lesu berpuasa pada siang hari, dengan drama TV dan siri terbaharu. Pada waktu inilah seisi keluarga akan duduk bersama di hadapan TV selepas berbuka puasa... dan menikmatinya. Mereka akan menonton episod demi episod drama dan program yang berbeza, malah ia mungkin berlarutan sehingga waktu bersahur.”

Mengkomersialkan Ramadan telah mencabut roh bulan yang mulia itu menjadi peluang bagi mempromosikan konsumerisme dan penyebarnya seperti bintang sukan, model dan artis dengan pakaian menjolok mata dan ikon pop.  Ia telah menghilangkan kesucian agama dan amalan ini menyamai komersialisasi Krimas yang telah menjadi musim membeli-belah. Keadaan ekonomi Amerika Syarikat bergantung kepada aktiviti membeli-belah pada musim Krimas.

Ia tidak terbatas kepada Malaysia sahaja tetapi kini menjadi satu fenomena global dengan serangan kapitalis dan budaya pengguna hedonistik. Dari New York ke Jakarta, iklan Ramadan memujuk pengguna supaya menikmati makanan dengan lahap dan berbelanja secara boros, amalan yang amat dilarang di dalam Islam.

Mengkomersialkan Ramadan, Aidil Fitri dan Aidil Adha adalah satu proses sekularisasi secara halus idea, citarasa dan budaya kita. Ia seumpama anai-anai yang secara senyap memakan tiang iman kita tanpa sedar akan kerosakannya. Ia menggalakkan materialisme dan penggunaan berlebihan yang membazir, membebankan kita dengan hutang. Kita menjadi begitu taksub dengan mengumpulkan begitu banyak wang dan menjadi kaya untuk membeli barangan, perkhidmatan dan hiburan yang tidak perlu sehingga kita mengabaikan tugas dan hubungan kita dengan Allah. Kita lupa bahawa kita hanyalah seorang musafir yang dalam perjalanan ke akhirat.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengatasi sekularisasi yang semakin menjalar ini? Produk dan perkhidmatan iklan yang menggunakan Ramadan, Aidil Fitri dan Aidil Adha mestilah diharamkan. Para ulama mestilah mengutuk perkara yang amat dibenci ini dan hendaklah mengeluarkan fatwa yang melarang eksploitasi Ramadan dan melindungi umat Islam. Pertubuhan masyarakat sivil Islam juga mestilah melancarkan kempen menentang pencabulan kemuliaan dan kesucian Ramadan, Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Insya Allah, Ramadan tahun ini diraikan tanpa amalan yang membawa dosa ini, dan patuh kepada seruan Allah untuk mencapai takwa. - HARAKAHDAILY 23/5/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pengguna Pulau Pinang.

Share on Myspace