Ikimfm sekali lagi terbit drama khas Ramadan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikimfm) bersama Islamic Relief Malaysia tahun ini sekali lagi bakal menerbitkan drama khas Ramadan.

"Tahun ini merupakan tahun keempat Ikimfm menerbitkan drama khas yang telah mendapat sambutan luar biasa di kalangan pendengar radio Ikimfm sepanjang penerbitannya setiap tahun," ujar Pengarah Pusat Media Ikim, Dr Nik Roskiman Abdul Samad, baru-baru ini.

Katanya, drama yang ditulis Maizura Mohd Ederis itu akan disiarkan sebanyak 20 episod bermula 6 Jun hingga 1 Julai setiap Isnin hingga Jumaat jam 4.15 petang yang diterbitkan oleh Nik Hasnah Ismail.

Tambahnya, drama khas itu sarat dengan mesej pengajaran bagi membina sudut pandang positif dan nilai Islam dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Drama bertajuk Seteguh Kasih Ramadan yang mengangkat tema kekeluargaan dan hubungan sejagat sesama manusia itu dijayakan oleh Fizz Fairuz, Yatt Hamzah dan Irma Hasmi di samping penyampai Ikimfm sebagai pelakon pembantu.

Drama itu mengisahkan Azman (Fizz Fairuz) melalui kegagalan dalam kerjaya dan perkahwinan kerana isterinya, Darina (Yatt Hamzah) tidak dapat menerima kehidupan mereka yang sering diuji dengan masalah kewangan.

Lalu Azman pulang ke kampungnya di Kuala Selangor untuk membina hidup baru kerana yakin akan membawa kejayaan kepada dia dan dua anaknya.

Dalam 'kekalahan' yang dihadapi itu hanya kepada Allah tempat dia mengadu dan menggantung harap.

Kehadiran Sakinah (Irma Hasmi) seperti memberi sinar baharu untuknya meneruskan kehidupan dan membesarkan anak-anaknya yang dahagakan kasih sayang seorang ibu. - HARAKAHDAILY 23/5/2016

Share on Myspace