PRK Kuala Kangsar, Sg Besar: PAS umum calon 27 Mei

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS akan mengumumkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 27 Mei ini.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, calon PRK Sungai Besar akan diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Sungai Besar sementara Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan mengumumkan calon PRK Kuala Kangsar di Kuala Kangsar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, majlis pengumuman kedua-dua calon itu diadakan pada sebelah malam.

"Jentera PRK Kuala Kangsar sudah bergerak sejak SPR mengisytihar kerusi parlimen itu kosong dan semua kawasan di Perak telah membantu jentera pilihan raya," ujarnya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong kerana kedua-dua penyandang, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

SPR mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun sementara penamaan calon 5 Jun. - HARAKAHDAILY 24/5/2016

Share on Myspace