Muktamar tahunan terima usul PAS ke Sarawak

HARAKAHDAILY | .

MUKTAMAR TAHUNAN PAS TERIMA USUL PAS KE SARAWAK  (25 MEI 1990)

PADA hari ini dalam tahun 1990, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 telah dibuka oleh Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dengan tema 'Maju Bersama Islam' yang berlangsung pada 25-27 Mei 1990 di Taman Melewar telah bersetuju dengan usul PAS Kawasan Tawau supaya PAS berkembang ke Sarawak.

Selain merupakan muktamar pertama setelah Ustaz Fadzil Mohd Noor dilantik sebagai pemimpin tertinggi PAS, muktamar ini juga adalah yang terakhir sebelum PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990.

Dalam muktamar ini, PAS telah membincangkan persiapan terakhir dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990 termasuk isu hubungan PAS-APU, kedudukan DAP dan juga pengembangan PAS di Borneo.

Sebelum ini, PAS telah beberapa kali merancang untuk berkembang di Sarawak, tetapi tidak menjadi kenyataan.

Pada akhir 1961, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Prof Zulkifli Mohammed telah membayangkan rancangan PAS untuk berkembang di Borneo, termasuk Sarawak.

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-10 pada 5-6 Januari 1962 pula bersetuju supaya PAS bergerak di Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, ketika PAS Sabah ditubuhkan pada Ogos 1964, PAS tidak berbuat demikian di Sarawak sehingga Konfrantasi Indonesia memuncak pada awal 1965.

Perubahan politik Sabah ekoran kemenangan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 21 April 1985 telah mendorong Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Mei 1985 memutuskan untuk membuka semula PAS Sabah dan pada September 1985, PAS mengumumkan untuk membuka sayapnya di Sabah dan Sarawak.

Sehingga PAS Sabah berjaya ditubuhkan pada 19 Mei 1986, tidak ada sebarang usaha serius untuk menubuhkan PAS di Sarawak.

Dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-36 pada 25-27 Mei 1990, PAS Kawasan Tawau yang melihat bahawa "tidak ada keupayaan badan-badan Islam untuk menangani masalah umat Islam di Sarawak," telah mendesak PAS supaya segera berkembang di Bumi Kenyalang itu.

Penerimaan usul PAS Kawasan Tawau kemudiannya diperbaharui oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-39 pada 11-13 Jun 1993 untuk PAS segera masuk ke Sarawak.

Hasilnya, sebuah Jawatankuasa Penaja PAS Sarawak telah ditubuhkan pada 1994 diketuai oleh Ustaz Mansor Din.

Mulai sesi 1995, PAS Pusat telah melantik Pesuruhjaya PAS Sarawak secara rasmi dengan Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi sebagai pesuruhjaya yang pertama.

PAS Sarawak kemudiannya mengorak langkah dengan melancarkan penubuhannya secara rasmi pada 26 Mei 1996.

Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik di Hotel Impiana, Kuching ini menandakan bermulanya sejarah rasmi PAS Sarawak.

Pendaftaran PAS Sarawak kemudiannya diluluskan pada 25 September 1996.

Sejak ditubuhkan, PAS Sarawak telah dipimpin oleh beberapa pesuruhjaya iaitu Ustaz Mansor Din (Pesuruhjaya Penaja, 1994-1995), Cikgu Mohd Shokri Mohd Fauzi (1995-2003), Haji Adam Ahid (2003-2009 dan 2010-2015) dan Ustaz Othman Mustapha (2009-2010).

Ekoran kematian Haji Adam Ahid pada 17 Ogos 2015, mulai 18 September 2015, Haji Jofri Jaraiee dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sarawak yang baru.

PAS Sarawak yang mula berkembang pesat melalui penubuhan Dewan Pemuda PAS Sarawak pada 2001, diikuti oleh Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak PAS Negeri, telah pun mempunyai tujuh buah PAS Kawasan iaitu Petra Jaya, Barang Lupar, Sibu, Mukah, Miri, Bintulu dan Santubong.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999, buat pertama kali PAS bertanding di Sarawak di Parlimen Batang Lupar, sebelum PAS Sarawak menyertai Pilihan Raya Negeri pertama kali pada 25 September 2001.

Dalam Pilihan Raya Negeri yang terkini pada 7 Mei 2015, PAS Sarawak telah meletakkan 11 calon termasuk calon wanita dan bukan Islam.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
25 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 25/5/2016

Share on Myspace