Pendirian PAS gusarkan DAP, Mahathir dan BN

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

Keputusan PAS untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada 18 Jun 2016 nanti adalah satu keputusan yang sangat menggusarkan DAP, Mahathir dan BN.

Tidak hairanlah jika Lim Kit Siang cuba sedaya upaya melobi PKR dan PAN untuk bertanding di kerusi berkenaan sebagai proksi DAP walaupun umum mengetahui bahawa kerusi berkenaan sebelum ini ditandingi PAS sama ada ketika bersama Pakatan ataupun tidak.

Dendam Kit Siang kepada PAS ternyata masih kuat. Dia tahu, agak sukar untuk DAP bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan, tetapi masih mendesak supaya ada wakil dari Pakatan Harapan untuk menghalang PAS. Bagi DAP, kalau wakil mereka itu kalah pun tak apa, yang penting dapat memecahkan undi PAS dan PAS juga kalah. Biar BN menang, DAP cuci tangan sekali gus menunjukan kepada rakyat bahawa PAS parti lemah. Walhal mereka sedar yang secara hakikinya PAS boleh menang jika pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN.

Cukuplah pilihan raya di Sarawak menunjukan bagaimana pertembungan antara calon DAP dan PKR yang begitu mudah ditewaskan oleh BN. Begitu juga percubaan nakal PAN yang cuba bertanding di kerusi PAS hingga menyebabkan BN kekal menang. Walaupun di kebanyakan kerusi PAN hilang wang deposit, tapi mereka “bangga” kerana berjaya melaksanakan amanah DAP untuk memecahkan undi PAS.

Sesuatu yang rakyat kena faham pada hari ini, Pakatan Harapan sendiri masih gagal untuk bersepakat sebagaimana pilihan raya Sarawak. DAP ternyata begitu sombong dan memandang kecil kepada PKR, dan mereka sedikit pun enggan memberikan ruang kepada PKR untuk bertanding satu lawan satu dengan BN. Jika dengan rakan Pakatan Harapan sendiri DAP tergamak menikam dari belakang, inikan pula kepada PAS yang kini menjadi musuh ketatnya. PKR kena sedar perkara ini kerana ia bukan kali pertama berlaku.

Pendirian PAS ini juga turut menggusarkan Mahathir yang cuba mengheret nama “rakyat” bagi menghalang PAS bertanding. Tidak cukup dengan itu, beliau turut memfitnah Presiden PAS yang dikatakan mengiktiraf Najib melalui prinsip cash is king. PAS juga dikatakan sebagai majoriti kecil walaupun boleh menang di kedua-dua kerusi ini.

Mahathir sedaya upaya mahu rakyat menolak PAS yang sudah cukup bersedia bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan dengan melaung-laungkan supaya wakil “rakyat” yang bertanding untuk melawan wakil Najib. Persoalannya, siapakah wakil “rakyat” itu. Jika dikatakan dari Pakatan harapan memang sangat jauh sekali tersasar kerana Mahathir jelas masih mahu bersama BN tetapi bukan bersama Najib. Maknanya Mahathir masih lagi mengharapkan pemimpin BN sendiri bertanding secara bebas melawan BN dan menolak calon Pakatan Harapan.

Hingga ke hari ini Mahathir hanya memperkudakan Pakatan Harapan dengan gula-gula politiknya iaitu “Deklarasi Rakyat” tapi masih enggan bersama blok Pakatan untuk menumbangkan BN secara total. Misinya sudah diperjelaskan iaitu, mempertahankan BN dan menolak Najib, bukan mengangkat Pakatan Harapan atau mana-mana blok pembangkang bagi mengalahkan BN. Ini politik apa sebenarnya? Menggunakan parti musuh ketatnya untuk “membunuh” Najib seorang dengan harapan dia boleh kembali bertaut bersama BN selepas itu. Dan yang pasti, seandainya beliau berjaya turunkan Najib dan kembali bersama BN, Mahathir akan kembali menghentam blok-blok pembangkang seperti sebelum ini.

Hikayat Mahathir keluar masuk Umno BN bukan baru. Zaman Tunku Abdul Rahman, Zaman Pak Lah dan kini zaman Najib. Jiwanya tetap bersama BN kerana legasinya di situ. Parti-parti pembangkang hanya menjadi badut sarkis untuk memudahkan laluannya kembali kepada BN.

Mahathir pula tidak mempunyai kepentingan dalam PAS, jauh sekali untuk menggalas amanah untuk berkempen bagi pihak Pakatan Harapan. Lihat sahaja apa yang beliau lakukan semasa pilihan raya Sarawak. Beliau duduk dari jauh mengutuk Najib tetapi masih mengunci mulut dari memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan. Apa sebenarnya yang Mahathir mahukan adalah supaya Najib turun. Tetapi itu adalah sesuatu yang mustahil melainkan jika beliau sanggup mengorbankan BN untuk dikalahkan bagi memudahkan laluan menjatuhkan Najib.

Dalam mengutuk Najib, Mahathir masih menggalas kuat tiang seri BN. Dan ini mengelirukan rakyat sebenarnya.

Oleh itu, satu-satunya cara yang terbaik adalah dengan memilih PAS bersama blok ketiga untuk menolak semua politik yang caca marba dari Blok Pakatan Harapan, Mahathir dan Najib-BN yang kini masing-masing cuba berpolitik demi kepentingan diri mereka sendiri sehingga sanggup “membunuh” rakan mereka yang dikatakan berpakat dengan mereka.

Nasib rakyat tidak akan terbela dengan corak politik sebegini. Belum apa-apa lagi mereka sudah bertengkar dan berebut kuasa sesama sendiri. Keadaan akan menjadi lebih teruk jika mereka menang nanti kerana niat mereka bertanding pun bukan untuk menjaga kebajikan rakyat.

Pemuda PAS mencabar Mahathir dan DAP supaya mereka sendiri bertanding di kedua-dua kerusi ini jika benar mereka mahu menunjukkan sesuatu kepada rakyat. Tak perlu lagi mendolak dalih menjadi tok dalang bermain wayang dengan menghantar calon-calon yang mereka balacikan.

PAS terbuka bekerjasama dengan PKR dan berbincang jika parti itu benar-benar ingin bersama membantu rakyat dan membela nasib rakyat. PAS tidak mengganggu kerusi mereka. Sama ada PAS menang atau kalah dalam pilihan raya kecil ini, PAS tetap menganggap PKR sebagai rakan politik khususnya dalam Kerajaan Selangor pada masa ini.

Tidak dinafikan, dalam keadaan sekarang Najib yang sudah nyawa-nyawa ikan cukup selesa untuk bernafas kerana blok pembangkang dan Mahathir bertubi-tubi mengasak PAS iaitu satu-satunya parti yang jelas mampu menewaskan BN di kedua-dua kerusi ini jika pertandingan satu lawan satu berlaku.

Najib tidak perlu bekerja keras untuk menang seandainya blok pembangkang terus menerus menyerang PAS, apalagi dengan mengisytiharkan untuk turut bertanding kerana itu sekaligus akan memecahkan undi kepada PAS dan membuka peluang untuk BN menang lagi sebagaimana di Sarawak.

Tiada apa yang ingin dibuktikan oleh PAS melalui pilihan raya ini melainkan demi kepentingan rakyat dan menewaskan BN bagi mengukuhkan blok pembangkang di Parlimen. Justeru, apa sahaja sikap pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, Mahathir dan BN, PAS kekal dengan misi bekerja untuk rakyat. - HARAKAHDAILY 25/5/2016

Penulis ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Share on Myspace