Tiada mangsa bah tinggal di khemah - Upen

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menjelaskan sehingga hari ini tiada lagi mangsa banjir yang rosak sepenuhnya (total loss) rumah mereka tinggal dalam khemah di Gua Musang dan Kuala Krai.

Bagaimanapun Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) menjelaskan masih ada mangsa banjir mendirikan khemah dalam rumah asal yang rosak.

Katanya, tindakan telah diambil melalui Ketua-Ketua Jajahan, pemimpin-pemimpin setempat dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi memastikan tiada lagi mangsa banjir tinggal dalam khemah.

“Sekiranya wujud aduan berhubung perkara berkaitan, Nadma melalui kerjasama Ketua Jajahan akan membuat siasatan susulan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya di sini.

Baru-baru ini Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menyebut prestasi keseluruhan projek pembinaan Rumah Kekal Baharu untuk mangsa banjir kurang memuaskan.

Menurut laporan itu kemajuannya 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah yang masih belum siap dibina sehingga 30 Mac lepas.

Laporan berkenaan juga mendakwa mangsa banjir tinggal di rumah transit dan khemah disebabkan rumah untuk mereka belum siap dibina.

UPEN juga menjelaskan sehingga 24 Mei lepas sebanyak 1,057 rumah kekal baharu mangsa banjir sudah siap dibina dan 348 lagi sedang dalam pembinaan.

Katanya, rumah tersebut dibina di bawah peruntukan kerajaan negeri, kerajaan pusat dan badan bukan kerajaan. - HARAKAHDAILY 25/5/2016

Share on Myspace