Tanding PRK bawa misi PRU akan datang

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

APABILA diugut untuk membuang exco PAS dari kerajaan Selangor, ramai rakan-rakan yang mulai takut. Asasnya mereka takut kerana bakal kehilangan kuasa di negeri yang begitu kaya itu. Ramailah meminta pimpinan PAS untuk berlembut dan minta berundur dari PRK bagi memberi laluan kepada PH.

Begitu mudah diugut. Mentaliti kita masih senang dipergunakan oleh rakan pakatan. Tiada izzah dalam diri. Tidak merasa keberadaan mereka di pentas politik membawa maruah Islam dalam menghadapi tipu helah dan percaturan politikus lain.

Mujurlah kita memiliki pemimpin tertinggi yang sangat tegas. Tidak terkesan dengan sebarang ugutan. Pengalaman berkecimpung dalam kancah politik membuat beliau tidak mudah dihayun kiri dan kanan. Cukuplah peristiwa lampau menjadi pengajaran.

Apa nak takut kalau kalah? Takut perkembangan Islam terbantut di Selangor? Kita sudah berputus hubungan dengan kerajaan Pulau Pinang. Tapi sampai sekarang kita masih mampu pertahankan institusi agama kita. Kita masih memiliki sokongan rakyat marhaen. Kerajaan tidak berani berbuat lebih kurang.

Sehingga ke hari ini, apakah PKR sudah membuang PAS? Apakah kita sudah kehilangan kuasa di Selangor? Di mana pergi ugutan-ugutan tersebut?

Jangan begitu mudah dipermainkan. Tunjukkan sikit kejantanan sebagai wakil parti Islam. Nyata mereka hanya main acah-acah sahaja. Mereka bukan berani pun. Mereka tahu di mana punca kekuatan mereka.

Tengoklah apa dah jadi pada mereka. Bukan sahaja tak berani pecat, rakan-rakan mereka pula yang kelam-kabut. Tak boleh putus mesyuarat PH, dipersalahkan PAS pula. Sejak bila PAS ahli majlis mesyuarat PH?

Rundingan dah berlaku. Keputusannya dah dimaklumi mereka. PAS kekal bertanding. Selesaikanlah dulu surat dari penjara yang buat parti mereka porak peranda itu.

Alhamdulillah kita dah ambil langkah yang tepat. Thiqah kepada pimpinan tertinggi. Keputusan dah disyurakan di peringkat eksekutif paling tinggi, maka tawakkallah. Walaupun kita boleh merancang, biarlah rancangan kita tidak keluar dari garis panduan tuhan, kerana Dia sebaik-baik Perancang. Pegang sahaja pada firmanNya:

"وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Bermesyuaratlah dengan mereka dalam sebarang urusan. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya." [Ali Imran:159]

Maaflah kalau sedikit berkasar kali ini. Bukan semata-mata soal menang atau kalah. Kita ada misi yang tersendiri untuk PRK kali ini. Misi yang akan menentukan kedudukan kita PRU14 kelak. – HARAKAHDAILY 25/5/2016

Share on Myspace