Pelajar dibuli dibimbangi gagal duduki PT3

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Bapa pelajar Sekolah Menengah Pengkalan Chepa yang didakwa dibuli 7 April lepas bimbang anaknya Aiman Hazim Zulkeefle tidak dapat menduduki peperiksaan PT3 akhir tahun ini.

Dr Zulkeefle Yaacob berkata sejak kejadian tersebut anaknya tidak dapat datang ke sekolah kerana masih menderita sakit leher, belakang dan pipi akibat ditendang pelajar senior.

Katanya, Aiman juga menghadapi masalah pendengaran akibat berlaku hentakan kuat di bahagian kepala.

“Rawatan ulangan pada 8 Mei lalu doktor pakar mengesahkan kecederaan pada saraf tunjang 'spinal cord' dan perlu tempoh untuk pulih dan sembuh. “Paling minimum 18 minggu untuk pulih sepenuhnya. Anak saya diberi sambung cuti sejak 8 Mei lalu sehingga 12 Jun ini,” katanya dihubungi sini.

Pada kejadian 7 April lepas Aiman Hazim, 15 dikatakan ditendang dua kali oleh pelajar tingkatan empat di bahagian leher sehingga menyebabkan tidak sedar diri.

Ekoran tragedi itu beliau dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II selama seminggu. Pihak sekolah juga menggantung persekolahan Aiman dan pelajar yang menendangnya, selama dua minggu.

Dr Zulkeefle berkata anaknya sudah banyak ketinggalan dalam pelajaran akibat kejadian tersebut.

“Saya juga kesal Kementerian Pelajaran dan pihak sekolah seperti lepas tangan yakni tidak datang bertanya khabar selepas kejadian terbabit.

“Sedangkan kejadian buli itu berlaku di sekolah. Sebagai orang yang terlibat secara langsung melahirkan bakal guru di UPSI saya begitu kecewa,” ujarnya.

Aiman sekarang berada di bawah jagaan neneknya di Wakaf Zin, Bachok. – HARAKAHDAILY 25/5/2016

Share on Myspace