PRK Kuala Kangsar: PAS ada peluang walau 'tiga penjuru'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar sama ada pertandingan ‘dua atau tiga penjuru'.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, kelebihan akan berpihak kepada PAS sekiranya PAN turut bertanding.

Beliau berkata demikian ketika melawat persiapan menghadapi PRK itu di Unit Peti Undi (UPU) Bendang Kering, petang kelmarin.

Selain itu, ujarnya undi orang Melayu akan memihak kepada PAS kerana beberapa faktor.

“Setelah PAS bergerak sendirian tanpa ada hubungan dengan DAP, tiada lagi momokan selama ini bahawa PAS menjadi boneka DAP.

“Janji kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu dan PRK Teluk Intan masih belum ditunaikan,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau menambah, isu GST dan harga komoditi getah dan kelapa sawit yang jatuh, telah membebankan rakyat terutama masyarakat kampung.

Razman yang juga AJK PAS Pusat turut mengingatkan para petugas agar dapat menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan dapat berjumpa dengan semua pengundi dengan cara yang berhikmah.

“Kita bergerak dengan politik matang. Semua petugas perlu memahami budaya setempat dan dapat bejumpa dengan pengundi, tidak menyerang mana-mana pihak.

"Dan membuka minda mereka supaya menerima PAS yang membawa penyelesaian Islam kepada seluruh kehidupan masyarakat dan negara,” tambah beliau.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong kerana penyandang, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

SPR mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun sementara penamaan calon 5 Jun.

Share on Myspace