Pertanian mapan bebas bahan kimia

HARAKAHDAILY | .

Sistem pertanian industri dan kawalan makhluk perosak semasa banyak bergantung kepada bahan kimia. Sains menunjukkan walaupun pada paras pendedahan yang amat rendah, banyak bahan kimia ini berbahaya kepada kesihatan manusia terutama kanak-kanak memandangkan minda dan tubuh mereka yang sedang berkembang amat mudah terjejas.

Kajian oleh Pimentel, dikemaskini pada 2005, menganggarkan AS$10 bilion setahun kerosakan  alam sekitar dan masyarakat membabitkan kos akibat penggunaan racun makhluk perosak di Amerika Syarikat. Pecahannya adalah seperti berikut: AS$1.1 bilion setahun dalam kos kesihatan awam; AS$1.5 bilion setahun dalam kekebalan makhluk perosak; AS$1.4 bilion setahun dalam kerugian tanaman; AS$2.2 bilion setahun dalam kehilangan burung; dan AS$2.0 bilion setahun dalam pencemaran air bawah tanah. Kita tidak mempunyai kos bagi Malaysia tetapi kerosakan yang ditunjukkan melalui angka ini menggambarkan betapa buruknya situasi ini.

Daripada usaha CAP, pengalaman petani berskala kecil semakin jelas bahawa pendekatan bebas bahan kimia terhadap pertanian bukan hanya berdaya maju, tetapi akan mengukuhkan lagi daya tahan pengeluaran pertanian. Kami telah menunjukkan bahawa hasil boleh ditingkatkan dengan lebih mapan, menggalakkan keselamatan makanan dan jaminan keselamatan makanan, memperbaiki kehidupan dan kejayaan mengurangkan atau mengelakkan daripada menggunakan input bahan kimia pertanian.

CAP terlibat secara aktif dalam menggalakkan pertanian bandar atau tanaman dapur dalam kalangan isirumah. Sayuran dan herba yang ditanam di dalam bekas yang mudah diperolehi boleh membantu keluarga menikmati hasil yang segar dan berkhasiat, bebas sisa bahan kimia selain mengurangkan perbelanjaan makanan mereka. Ini boleh disepadukan dengan mengumpul air hujan dan sisa organik dapur dan kebun yang dijadikan kompos.

Projek kebun sekolah CAP telah menyedarkan pelajar akan kepentingan pengeluaran makanan dan menyediakan mereka dengan latihan dalam pertanian, amalan pendidikan pemakanan dan  pemasaran hasil mereka. Niat kami adalah untuk memupuk dalam kalangan belia dan kanak-kanak bahawa pertanian adalah laluan kerjaya yang berdaya maju.

Paradigma lama pertanian industri, berintensif tenaga dan toksik adalah konsep masa lalu. Sumber semula jadi kita seperti tanah, dan biodiversiti pertanian semakin merosot atau hilang, dan dalam beberapa kes, tidak dapat dipulihkan. Sementara itu, perubahan iklim sudah pun meninggalkan kesan dalam sektor pertanian, dan akan menjadi lebih buruk pada masa akan datang.

Semua realiti ini menggesa ke arah tindak balas khusus di peringkat dasar. Pertanian berskala kecil dan kaedah ekologi pertanian menyediakan laluan bagi menyediakan jaminan keselamatan makanan, mengelakkan krisis makanan dan memenuhi keperluan kita.

Malaysia mestilah mempunyai sasaran yang tinggi dan pelan strategik untuk negara. Contohnya, Bolivia mensasarkan untuk menjadi negara yang mencukupi keperluan sendiri atau berdikari dalam pengeluaran makanan menjelang 2020 dengan meningkatkan kemampuan tempatan. Kerajaan Bolivia memperuntukkan dana untuk menyokong petani dalam pengeluaran makanan mapan dan melabur dalam projek jaminan keselamatan makanan. Ia juga berhasrat untuk mengurangkan atau menghentikan import makanan yang bukan hanya membantu memperbaiki kehidupan petani dan peniagaan tempatan membantu mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Contoh lain termasuklah Bhutan, negara kecil di tanah pergunungan yang mengumumkan pada 2011 matlamatnya untuk menjadikan sistem pertanian negara 100% organik menjelang 2020. Kerajaan Denmark juga sedang bekerja dalam pelbagai cara untuk menukarkan seluruh pertanian negara kepada pertanian mapan dan organik. Pada 2015, mereka mengeluarkan rancangan yang bercita-cita tinggi untuk menggandakan pertanian organik dan menyediakan lebih banyak makanan organik di institusi awam negara menjelang 2020. Sikkim di India pula kini merupakan negeri yang mengamalkan 100% pertanian organik, dengan tiada lagi bahan kimia racun makhluk perosak atau baja kimia dan tiada GMO. Ini menunjukkan makanan organik di seluruh rantau ini mampu dilaksanakan.

Oleh itu, kami menggesa Kerajaan Malaysia melaksanakan dasar dan program yang kukuh bagi pertanian mapan bebas bahan kimia. Pertanian bebas bahan kimia perlu dijadikan subjek wajib dalam semua sekolah vokasional. UPM dan universiti lain di Malaysia perlu memperkenalkan kursus mengenai pertanian, dengan memberi tumpuan kepada kaedah pertanian bebas bahan kimia. Kementerian Pertanian juga perlu membekalkan peralatan dan bahan yang berkaitan  untuk mereka yang berminat dalam pertanian bebas bahan kimia. Insentif seperti ini akan mendorong lebih ramai orang untuk mengusahakan kebun sayuran mereka sendiri.

Pada masa ini, CAP turut mengajar kaedah pertanian bebas bahan kimia kepada orang ramai dan menghasilkan kompos, kompos cacing, penggalak pembesaran dan penghalau serangga yang bebas toksik. Kami menggalakkan orang ramai untuk mempelajari kaedah ini di ladang dan kebun mereka sendiri. Input ladang bebas bahan kimia juga boleh diperolehi di CAP. Dana perlu diperuntukkan kepada kumpulan seperti CAP yang boleh membantu dalam menggerakkan rancangan ini ke hadapan.  
 
SM Mohamed Idris
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) - HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace