Beri laluan PAS menggantikan Umno

AHMAD AMZAD HASHIM | .

TIADA orang Islam yang benar benar beriman dan tahu realiti yang berlaku akan mempertahankan mereka yang melakukan kesalahan, rasuah, seleweng, salahguna kuasa dan boros.

Kerana sikap begitu akan menyebabkan orang bukan Islam memandang serong kepada agama Islam. Seolah-olah dikeranakan sikap orang Islam yang masih mahu mempertahankan BN yang korupsi, maka Islam dianggap mengajar tidak apa-apa kalau rasuah. Zalim, boros dan menyeleweng itu bukan kesalahan.

Dilema sebenar adanya pada orang orang Melayu yang membentuk populasi terbesar umat Islam yang menjadi majoriti penduduk negara ini. Kemiskinan, ketinggalan serba serbi ekonomi, ekuiti, nisbah golongan profesional, saintis.

Satu satu perkara yang orang melayu masih boleh merasa lega adalah kerana tunjang yang menjadi teras kuasa dalam negara masih lagi dikawal orang Islam.

Kita masih ada Kepercayaan kepada Tuhan dan Raja Berpelembagaan sebagai dua Rukun tertinggi dalam Rukun Negara. Kita ada Yang Di Pertuan Agong dan Sultan sultan sebagai ketua negara dan ketua negeri negeri. Kita masih ada struktur politik yang mengawal halatuju negara dipimpin oleh mereka yang masih dilihat Melayu dan Islam.

Ini dilihat jaminan penting kepada orang orang Islam. Yang terlalu berharga untuk dicuba-cuba bereksperimen dengan menggantikan dengan struktur baru yang berbeza dengan membawa idealisma keterbukaan, liberal, pluralisme dan sekularisme.

Orang Melayu memang sedar BN ini jahat. Umno rasuah. Jahanamkan negara.

Mereka mahu tolak Umno. Tapi berikanlah mereka pilihan yang tidak merisikokan agama dan bangsa.
PAS selaku parti yang telah lama dalam sepak terajang politik Melayu arif sangat sentimen dalam kalangan orang Melayu ini.

Oleh itu, Presiden PAS tegaskan berkali-kali, mesti faham negara ini masyarakatnya bersifat majmuk, berbilang kaum. Tak cukup semata-mata faham istilah majmuk. Kena faham majmuknya sifat bagaimana?

Kerana itu PAS menolak berada dalam pakatan yang memberi mesej dan persepsi berada di bawah kawalan DAP. DAP pula parti yang telah tertanam persepsi dalam kalangan orang Melayu sebagai rasis, chauvinist, dan melampau batas dalam memasuki sempadan urusan orang Islam dan Melayu.

Gelombang pengundi Melayu tidak akan terbentuk melainkan ada semacam jaminan bahawa kepimpinan politik baru yang mahu menggantikan BN/Umno, boleh diharap, berprinsip dalam soal agama dan bangsa.

Ini rintangan yang perlu kita kenalpasti dan terjemahkan dalam kerangka tindakan.

Pakatan Harapan dengan strukturnya sekarang hanya menempah kegagalan.

Melainkan dengan PAS sama-sama diberi sokongan bulat sebagai lawan setara yang perlu dibantu serba serbi untuk tewaskan Umno.

Menggagalkan usaha PAS menentang Umno adalah sebenarnya sabotaj yang besar dalam menjayakan agenda menumbangkan BN yang sudah terlalu rosak.

Bagi sebahagian orang Melayu, nilai dan harga keselamatan agama dan bangsa lebih besar dan penting dari RM42 Billion wang 1MDB atau derma RM2.6 Billion yang masuk ke akaun peribadi DS Najib.

Nak tewaskan Umno kita kena bersatu pada strategi yang betul. Pedulikan mereka yang mahu membantu Umno dengan memecahkan undi. – HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace