Ikatan gerak jentera bantu PAS di K Kangsar, Sg Besar

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Negeri Selangor hari ini mengumumkan akan menggerakkan jentera bagi membantu PAS pada  Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Pengerusi Dewan Majlis Ikatan Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamad Badri Abd Rahman berkata parti itu akan menggerakkan 500 anggota parti pada kempen PRK.

"Ikatan hari ini memaklumkan persiapan bagi membantu PAS pada kedua-dua pilihan raya iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Kami telah bertemu dengan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dan beliau mengalu-alukan kedatangan Ikatan pada pilihan raya tersebut.

"Dalam pertemuan tersebut, kita bincang apa fungsi Ikatan dalam membantu PAS dan kami akan sentiasa bersiap sedia menurunkan jentera sekiranya diperlukan, kita juga akan membekalkan logistik, persiapan berbuka puasa dan sebagainya untuk kerja-kerja kempen," katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau lagi, dalam masa terdekat Setiausaha Agung Ikatan akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria bagi membincangkan kerjasama Ikatan di Kuala Kangsar nanti.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Ikatan Selangor, Mohamad Azhar Hamzah berkata pihaknya telah mendapat restu daripada PAS Selangor untuk membantu sepanjang tempoh berkempen.

"Kita dijemput untuk hadiri bersama dalam program PAS seperti ceramah-ceramah kecil mahupun kemasyarakatan.

"Kita bantu dari sudut kerja ataupun sumbangan, hubungan kita ini masih baru dan berharap kerjasama ini akan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua parti," kata beliau.

Beliau meminta semua pengundi memberi sokongan penuh kepada calon PAS agar dapat memenangi kedua-dua PRK itu. - HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace