Penyampai Ikim.fm turun padang sampai sumbangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Radio Ikimfm melancarkan program Imarah Ramadan-Bantulah Mereka Berbuka bagi memeriahkan bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Memasuki tahun keempat penganjurannya, program itu bertujuan untuk berkongsi keceriaan dan kemeriahan Ramadan bersama-sama dengan golongan yang kurang berkemampuan.

Program itu merupakan aktiviti kebajikan dengan konsep ziarah sambil menyumbang dan melihat sendiri serta merasai kesusahan dan penderitaan warga miskin yang memerlukan.

Melalui program itu, para penyampai Ikim.fm bersama sukarelawan IAM akan turun padang berkunjung ke beberapa lokasi terpilih di Johor, Perak dan Kelantan dalam menghulurkan sumbangan.

Majlis yang diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) semalam itu dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Ikim, Dr Mohd Zaidi Ismail dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Majlis itu juga turut menyaksikan penyerahan sumbangan pek makanan 'Imarah Ramadan' yang pertama untuk tahun 2016 yang melibatkan pekerja bawahan Ikim sebagai penerima manfaat. - HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace