RUU Persendirian: PAS dapat bentang walau DAP bantah

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat yang bersidang pada sesi sebelah petang hari ini telah membazirkan masa hampir 30 minit apabila beberapa ahli parlimen DAP dan Amanah mempertikaikan pembentangan usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Rang Undang-undang Persendirian itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini.

Tuan Guru Abdul Hadi mengambil masa kira-kira tiga minit untuk membacakan usulnya sebaik sahaja dibenarkan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau juga memohon agar usulnya itu ditangguhkan untuk dibahaskan ke mesyuarat ke-3 yang di jangka akan berlangsung pada 17 Oktober akan datang.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook mempersoalkan keputusan Speaker Pandikar Amin Mulia kerana mendahulukan RUU Persendirian itu berbanding usul lain yang lebih penting.

"Sesuatu yang sangat pelik pada pagi ini diusulkan dan petang dibentangkan dalam dewan. Apakah ini ada agenda politik daripada kerajaan," soalnya ketika meminta penjelasan.

Bahkan beliau turut meminta Pandikar Amin mempertimbangkan semula perkara itu kerana merasakan RUU Persendirian itu tidak penting.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen turut bangun meminta penjelasan dan menjelaskan bahawa pembentangan RUU Persendirian itu satu perkara yang sensitif dan perlu ada perundingan.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang bangun mempertikaikan pembentangan RUU Persendirian Marang yang disifatkan perlu dibawa ke perundingan kerana melibatkan pelbagai masyarakat.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut bangun meminta penjelasan tentang prosedur dan amalan parlimen apabila memberi keutamaan kepada usul peribadi.

"Apa pertimbangan yang perlu kita ada untuk membentangkan RUU Persendirian, supaya lain kali kita ada usul peribadi kita pun boleh ikut," soal beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat bahawa pembentangan usul RUU Persendirian tidak perlu di buat belah bahagi apabila Look Siew Fook meminta dewan agar dibuat belah bahagi bagi membenarkan pembentangan usul itu.

"Sepatutnya, rakan-rakan saya sokong perkara ini dan mengikut peraturan mesyuarat kerana kerajaan agak susah hendak naikkan RUU Persendirian seperti hari ini, " katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali turut bangun dan meminta Speaker memberi hak demokrasi kepada Marang untuk meneruskan pembentangan RUU itu.

"Kita dengar dahulu apa yang hendak dibentangkan oleh Marang, berilah ruang demokrasi dia," tegas beliau.

Pandikar Amin turut menegaskan bahawa usul RUU Persendirian Marang itu adalah usul yang baru pertama kali diangkat dan meminta ahli parlimen mendengar dahulu apa yang akan dikemukakan oleh Marang.

Rang undang-undang persendirian itu disenaraikan sebagai agenda terakhir dalam aturan mesyuarat pada hari akhir sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ini adalah kali ketiga Ahli Parlimen Marang itu mengemukakan rang undang-undang yang serupa ke Parlimen selepas dua cubaan sebelum ini pada tahun lepas. – HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace