Perjuangan PAS martabat Islam tak pernah padam

HARAKAHDAILY | .

Bentang RUU Persendirian: Perjuangan PAS martabat Islam tak pernah padam

Hari ini (26 Mei 2016) mencatat satu lagi sejarah dalam Parlimen Malaysia. Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS berjaya membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Pindaan Kuasa Dewan Rakyat.

Walaupun ini kali ketiga Tok Guru mengemukakan rang undang-undang yang serupa ke Parlimen selepas dua cubaan sebelum ini pada tahun lepas, tetapi ia akhirnya berjaya. Walaupun usul berkenaan ditangguhkan dan akan dibawa ke sesi Dewan Rakyat akan datang untuk dibahaskan, ia isu lain.

Rang undang-undang persendirian itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud dan qisas di negara ini.

Agenda memartabatkan Islam bukanlah agenda pinggiran dalam perjuangan PAS. Islam diletak menjadi dasar dalam Perlembagaan PAS.

Islam juga menjadi sumber tertinggi dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu ketika PAS berjaya memerintah Terengganu dari akhir 1999-2004.

Islam juga menjadi matlamat akhir dalam hidup secara peribadi ahli PAS dan dalam hidup berorganisasi ahli PAS.

Memartabatkan Islam bererti PAS mahu menegakkan keadilan, kerana Islam itu adil. Non-muslim jangan bimbang kerana Islam tidak menzalimi non-muslim dari sudut undang-undang di atas dunia.

Kalau anda muslim, anda sepatutnya bersama PAS. Dan kalau anda non-muslim, anda juga boleh bersama PAS kerana PAS diajar oleh Islam untuk berlaku adil kepada semua.

Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
Timbalan 1, Jabatan Perhubungan Awam, IT Dan Media Baharu, Dewan Ulamak PAS Pusat
Ketua Lajnah Media Baharu DUPNT
26 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 26/5/2016

Share on Myspace