PAS adil dalam memartabat Mahkamah Syariah di Malaysia

HARAKAHDAILY | .

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pusat, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana membenarkan Ahli Parlimen Marang,  Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang merupakan Presiden PAS untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Pindaan Akta 355; Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) pada hari terakhir sesi Parlimen bersidang baru-baru ini di bawah Seksyen 14(2) Peraturan Tetap Dewan.

Pembentangan RUU Persendirian ini jelas dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia sendiri yang termaktub dalam Perkara 66 dan Perkara 67.

Cadangan pindaan oleh PAS juga sejajar dengan Titah Diraja baru-baru ini untuk memartabatkan Mahkamah Syariah yang kini tarafnya lebih rendah daripada Mahkamah Majistret.

RUU ini hanya meliputi mereka yang beragama Islam dan berkenaan Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual ke-9 Undang-undang Persekutuan sahaja.

Setelah dibentang, RUU ini akan dibahas secara demokratik oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Cadangan pindaan tersebut akan diundi untuk diluluskan/tidak diluluskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sejajar dengan Seksyen 46(3) Peraturan Tetap Dewan.

Perbahasan RUU tersebut telah dipohon untuk ditangguhkan oleh PAS di bawah Seksyen 15(5) Peraturan Tetap Dewan kerana ingin berlaku adil kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain.

Diharapkan kesemua ahli Dewan Rakyat daripada kerajaan dan pembangkang dapat bersiap sedia untuk melaksanakan tanggungjawab demokratik masing-masing dengan memberi perbahasan yang berilmiah, matang dan berkualiti tinggi melalui penyelidikan yang teliti di dalam sesi bersidang Parlimen seterusnya di bulan Oktober nanti.

"Keadilan Berlandaskan Wahyu"

"Beristiqamah Sehingga Kemenangan"

Wan Rohimi Wan Daud
Pengarah Jabatan Undang-undang & Hak Asasi Manusia (Juham),
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Share on Myspace