Ustaz Ahmad Yakob dilantik Exco Kerajaan Kelantan

HARAKAHDAILY | .

USTAZ AHMAD YAKOB DILANTIK EXCO KERAJAAN KELANTAN (27 MEI 1997)

PADA hari ini dalam tahun 1997, Adun Pasir Pekan, Ustaz Ahmad Yakob telah mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kelantan bersama Haji Hassan Abdullah (Pengkalan Pasir), Ustaz Abdullah Yaakob (Air Lanas) dan Ustaz Hassan Mohamad (Kemuning).

Pelantikan ini sekali gus telah menamatkan krisis politik Kelantan sejak 14 Julai 1996 ekoran putusnya hubungan PAS dan Parti Melayu Semangat 46 (PMS46).

Krisis politik yang turut melibatkan Istana Kelantan ini telah menyebabkan empat orang anggota Exco dari PMS46 dilucutkan portfolio pada 19 Julai 1996, sebelum mereka meletakkan jawatan pada 28 November 1996 atas keputusan Majlis Tertinggi Umno.

Ustaz Ahmad Yakob yang dilahirkan di Kampung Berangan, Tumpat pada 1 Februari 1950 adalah anak kepada tokoh PAS Tumpat, Tuan Guru Haji Yakob Ishak.

Selain pernah menjadi pemimpin PAS Tumpat, Tuan Guru Haji Yakob yang pernah ditahan ISA pada 27 Februari 1964, merupakan Mudir Pondok Berangan merangkap ahli Majlis Ulamak MAIK.

Setelah mendapat pendidikan awal daripada ayahnya di Pondok Berangan, Ustaz Ahmad memasuki Sekolah Kebangsaan Berangan, sebelum ke Sekolah Agama Bustanul Arifin, Berangan dan Maktab Pengajian Islam, Jalan Bayam, Kota Bharu.

Beliau telah menerima ijazah Aliyah dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), Nilam Puri, sebelum menerima ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari Universiti Ain Syam, Kahirah.

Setelah berkhidmat sebagai guru agama di Johor sejak 1980, beliau mula mengajar di beberapa sekolah di Kelantan mulai 1986 yang membuka peluang untuk beliau aktif dalam PAS.

Beliau mula menjadi Pengarah MTD Sungai Pinang sejak 1986, selain pernah menjadi Bendahari PAS Tumpat, Ketua Penerangan PAS Tumpat dan Naib Yang Dipertua PAS Tumpat.

Dalam Pilihan Raya Umum 1995, beliau telah dicalonkan oleh PAS bertanding di Dun Pasir Pekan dan berjaya mengalahkan calon BN, Saupi Daud dengan majoriti 2,735 undi. Beliau kemudiannya berjaya mengekalkan kerusi ini hingga sekarang.

Dalam krisis politik pada pertengahan 1996 ekoran perpecahan PAS dengan PMS46 itu, pada 15 September 1996, Ustaz Ahmad telah dinamakan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai calon Exco menggantikan tempat wakil rakyat PMS46, tetapi ia tertangguh kerana krisis dengan Istana Kelantan.

Setelah Sultan Kelantan memberi perkenan pada 6 Februari 1997, beliau masih tidak dapat mengangkat sumpah sehingga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 April 1997 mendesak Istana Kelantan menyegerakan majlis angkat sumpah tersebut. Akhirnya, pada 27 Mei 1997, Ustaz Ahmad bersama tiga lagi Adun PAS berjaya mengangkat sumpah sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Ustaz Ahmad pada mulanya memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia sejak 27 Mei 1997, telah diberikan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar selepas Pilihan Raya Umum 1999.

Mulai 23 Mac 2004, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan, sebelum mengambil alih jawatan Ketua Kerajaan daripada Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz mulai 6 Mei 2013.

Selain menjadi Menteri Besar Kelantan, Ustaz Ahmad juga merupakan Timbalan Persuruhjaya PAS Kelantan (2005-2013), Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (2009-2014), Pesuruhjaya PAS Kelantan mulai 2 Disember 2013, Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat mulai 25 Januari 2014 dan Timbalan Mursyidul Am PAS mulai 8 Mac 2015.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
27 Mei 2016 - HARAKAHDAILY 27/5/2016

Share on Myspace